DUNIA

MASIS Sasar Tingkatan Keahlian Untuk Perkukuh Rangkaian Rakyat Malaysia Di Singapura

12/02/2025 08:31 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 12 Feb (Bernama) – Persatuan Malaysia di Singapura (MASIS) menyasarkan peningkatan jumlah keahlian tahun ini bagi membina rangkaian rakyat Malaysia yang lebih kukuh dan pelbagai di republik ini, kata presidennya yang baharu, Suen Bohn.

Beliau berkata MASIS, yang ditubuhkan pada 2014, telah menjadi tonggak sokongan kepada lebih 1,000 ahli aktif yang menetap, bekerja dan belajar di Singapura.

"MASIS ialah organisasi berbilang kaum, berbilang budaya, tidak berpolitik dan bukan berasaskan keuntungan yang berfungsi sebagai platform untuk komuniti rakyat Malaysia dan individu berasal dari Malaysia bagi menyokong serta berhubung antara satu sama lain.

"Sebagai Presiden MASIS bagi penggal ini, saya komited untuk mendekati lebih ramai rakyat Malaysia di Singapura, mewujudkan peluang kerjasama baharu dengan syarikat korporat dan persatuan lain, serta mencipta pengalaman bermakna untuk ahli kami," katanya kepada Bernama pada sambutan Tahun Baharu Cina MASIS di sini, baru-baru ini.

Bohn yang berasal dari Pulau Pinang, dipilih menerajui persatuan itu pada Mesyuarat Agung Tahunan Disember 2024 bagi tempoh dua tahun sehingga Disember 2026.

Beliau menambah bahawa MASIS, bersama rakan korporat telah merancang pelbagai aktiviti sempena ulang tahun ke-60 hubungan dua hala Malaysia-Singapura tahun ini, termasuk pertandingan fotografi dan festival filem.

MASIS turut menganjurkan pelbagai program sepanjang tahun, antaranya sesi membina rangkaian, sukan dan permainan, seminar pelaburan, aktiviti pembersihan pantai, kesihatan yoga, perhimpunan kulinari, inisiatif amal, pameran seni dan budaya, serta ceramah kerjaya.

Tahun lepas, persatuan itu menubuhkan secara rasmi Majlis Pelajar Antara Universiti MASIS (MASIV) bagi mendekati serta menyokong generasi muda rakyat Malaysia yang melanjutkan pengajian di universiti di Singapura, selain menjalinkan kerjasama sulung dengan Pasukan Polis Singapura bagi meningkatkan kesedaran mengenai penipuan dalam talian.

Bohn berkata selain menikmati pelbagai diskaun dan keistimewaan, keahlian dalam MASIS membolehkan rakyat Malaysia di Singapura berkongsi serta memperoleh ilmu, mengembangkan rangkaian, mendapatkan akses kepada sumber dan sokongan berharga, serta membina persahabatan yang berkekalan.

Sementara itu, sambutan Tahun Baharu Cina MASIS di sebuah hotel di sini minggu lepas turut dihadiri Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Ismail Mohamad Bkri, Kaunselor di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura Syuhada Adnan dan Menteri (Ekonomi) di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura Kavitha Mathuvay.

Pelari menara nombor dua dunia dari Malaysia, Soh Wai Ching juga hadir pada majlis itu dan berkongsi pengalaman serta pandangannya mengenai sukan berkenaan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2391880