Oleh Norhidayyu Zainal
KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Kebanyakan marsymalo, sejenis konfeksi bergula yang lembut, di pasaran negara ini adalah diimport dan tidak mempunyai status halal yang diyakini, sekali gus menyukarkan umat Islam mendapatkan sediaan manis kegemaran kanak-kanak itu.
Menyedari potensi makanan itu dalam pasaran halal tempatan, lulusan Monash University, Australia, Nur Ikhmal Danial Zakaria mencuba nasib meneroka bidang pengeluaran produk tersebut yang belum begitu meluas dalam kalangan usahawan Islam.
Merujuk kaedah pembuatan yang dilihatnya di luar negara serta resipi daripada perkongsian pengguna TikTok, lelaki ini mengambil masa kira-kira empat bulan bagi menghasilkan marsymalo patuh syariah dan dipasarkan sejak April tahun lepas dengan jenama Hello Marshmallow.
pic-2
“Setiap bahan yang digunakan disahkan halal serta mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan bagi memastikan produk berkualiti tinggi dan selamat dimakan.
“Buat masa ini, kami tidak menggunakan apa-apa bahan lain untuk menstabilkan produk sedangkan cabaran utama kami adalah menghadapi cuaca panas di Malaysia yang menyebabkan marsymalo kami mudah cair. Jadi kami terpaksa ubah resipi agar lebih stabil,” katanya kepada Bernama.
Diperbuat daripada tiga bahan - gula, sirap glukosa dan gelatin - Nur Ikhmal Danial berkata secara asasnya marsymalo dibuat dengan mencampurkan gula, air dan sirap glukosa yang dipanaskan hingga mencapai suhu tertentu sebelum dicampur dengan gelatin yang telah dikembangkan dalam air dan kemudian diaduk sehingga memiliki tekstur gebu.
"Untuk memastikan tekstur yang lebih gebu dan sekata, disarankan guna mesin stand mixer," kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi itu.
pic-3
Adunan yang telah sebati kemudian dicampur dengan perisa sebelum dituang ke dalam acuan dan diletakkan di dalam peti sejuk atau dibiarkan mengeras pada suhu bilik selama tiga hingga empat jam.
Nur Ikhmal Danial yang aktif memasarkan produknya itu menerusi akaun TikTok @hello.marshmalloww menghasilkan enam perisa, iaitu strawberi, cokelat, blueberry, Mixed-nut Butterscotch, teh hijau dan Cookies & Cream.
"Kami menawarkan kepelbagaian dari segi rasa. Tambahan pula pelanggan juga tidak perlu waswas untuk makan kerana ia diperbuat daripada bahan yang halal.
“Ramai pelanggan yang berterima kasih kerana menyediakan alternatif bagi produk marsymalo ini, selain memuji rasa dan teksturnya yang setanding produk di pasaran,” katanya yang berhasrat menjadi usahawan sejak tamat Sijil Pelajaran Malaysia.
-- BERNAMA