JENAYAH & MAHKAMAH

TDM Tahan 15 Pendatang Tanpa Izin Warga Myanmar, Thailand

09/02/2025 11:24 PM

ALOR SETAR, 9 Feb (Bernama) -- Angkatan Tentera Darat Malaysia (TDM) menahan 15 pendatang asing tanpa izin warga Myanmar dan Thailand dalam dua tangkapan berasingan di daerah Kubang Pasu, semalam dan hari ini.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan memaklumkan tangkapan pertama dilakukan pada 7.22 malam semalam di sekitar Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia (KTJ 6 Bgd).

"Pasukan operasi yang melaksanakan rondaan telah mengesan sekumpulan pendatang tanpa izin yang sedang bersembunyi di dalam longkang di jalan utama dari Padang Sanai menuju ke Sintok. Seramai lapan lelaki warga Myanmar berumur antara 19 hingga 48 tahun telah berjaya ditahan.

"Turut dirampas sejumlah wang tunai dan lapan telefon bimbit yang kesemuanya dianggarkan bernilai lebih RM5,300,” menurut kenyataan itu.

Menurut 2 Divisyen kesemua mereka dipercayai memasuki Malaysia dengan laluan tidak sah bagi mencari peluang pekerjaan dan diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.

Kenyataan itu menyebut tujuh pendatang tanpa izin warga Myanmar dan Thailand berusia 18 hingga 47 tahun yang berada dalam keadaan mencurigakan berhampiran sempadan Malaysia-Thailand turut ditahan pada 2.30 pagi tadi.

“TDM akan terus komited memastikan keselamatan di sempadan negara dan tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan dan penyeludupan. Pasukan operasi akan terus mempertingkatkan rondaan dan kawalan di sempadan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2390932