JENAYAH & MAHKAMAH

KPN Dapat Kebenaran Mulakan Prosiding Komital Terhadap Papagomo 

10/02/2025 02:48 PM

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Tinggi di sini hari ini untuk memulakan prosiding komital terhadap blogger Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, kerana tidak mematuhi perintah mahkamah.

Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong membuat keputusan itu selepas pendengaran permohonan secara ex-parte (sebelah pihak) oleh peguam Raam Kumar dan Norleena Jamal, yang mewakili Razarudin.

“Tarikh pendengaran permohonan komital inter-parte (kedua-dua pihak) akan ditetapkan kemudian,” kata Gan.

Prosiding komital adalah satu prosiding untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap seseorang yang dikatakan menghina mahkamah dengan melanggar perintah yang telah dikeluarkan.

Razarudin memfailkan permohonan komital terhadap Wan Muhammad Azri pada 24 Jan lepas memohon agar defendan dipenjara atau didenda kerana menghina mahkamah berikutan tidak mematuhi perintah injunksi pada 10 Jan lepas dengan membuat hantaran terhadap Razarudin di aplikasi YouTube, TikTok, X serta akaun Telegram.

Pada 10 Jan lepas, mahkamah mengeluarkan perintah injunksi melarang dan menghalang Wan Muhammad Azri atau wakilnya daripada menerbit atau menyiarkan kenyataan fitnah di semua platform media sosial yang ditujukan kepada Razarudin, sehingga perbicaraan kes saman itu diputuskan oleh mahkamah.

Selain itu mahkamah turut mengeluarkan perintah injunksi yang melarang dan menghalang defendan atau wakilnya daripada menerbit atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan, video dan status serta komen atau sebarang bentuk rujukan kepada plaintif.

Kenyataan, video status serta komen itu berkenaan kedudukan Razarudin sebagai Ketua Polis Negara dan secara peribadi sama ada secara bertulis, lisan atau dalam talian di platform media sosial dan melalui aplikasi pesanan ringkas, seperti Telegram dan WhatsApp.

Wan Muhammad Azri juga diperintahkan menarik balik, menurunkan dan memadamkan penerbitan siaran video di YouTube, TikTok, Facebook, Telegram dan X miliknya bertarikh 14, 15, 20 dan 22 Dis tahun lepas yang mengandungi kenyataan fitnah terhadap Razarudin.

Pada 26 Dis tahun lepas, Razarudin memfailkan saman RM3 juta terhadap Wan Muhammad Azri atas dakwaan memfitnah yang turut membabitkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2391070