PUTRAJAYA, 10 Feb (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang yang memohon kebenaran merayu keputusan berhubung kesahihan usul diluluskan DUN itu yang mengisytiharkan kerusi mereka kosong.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim memutuskan tiada merit dalam permohonan yang difailkan bekas ADUN Sungai Acheh Zulkifli Ibrahim dan bekas ADUN Seberang Jaya Dr Afif Bahardin itu.
Hasnah yang bersidang dengan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera tidak membuat sebarang perintah mengenai kos.
Kedua-dua bekas ADUN itu menerusi peguam mereka Tan Sri Azhar Azizan Harun memohon mahkamah memberikan kebenaran untuk merayu dengan alasan terdapat empat persoalan undang-undang baharu untuk diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.
Bagaimanapun peguam A. Surendra Ananth mewakili DUN Pulau Pinang dan speakernya Datuk Law Choo Kiang membantah bahawa pemohon gagal memenuhi keperluan di bawah Seksyen 96 (a) dan (b) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Pada 8 Dis 2023 Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Datuk Anand Ponnudurai memutuskan bahawa Zulkifli dan Dr Afif telah hilang kelayakan dengan cara yang betul untuk berada dalam DUN selepas mereka dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengikut Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang yang melarang tindakan lompat parti.
Selepas dipecat daripada PKR, Zulkifli dan Dr Afif menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang menyebabkan usul dikemukakan agar mereka mengosongkan kerusi masing-masing.
Bagaimanapun, Anand memutuskan bahawa Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang tidak terpakai kepada bekas ADUN Bersatu Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Lazim (Teluk Bahang) kerana mereka tidak pernah meninggalkan parti itu.
Beliau memutuskan bahawa Khaliq Mehtab dan Zolkifly kekal sebagai ADUN dari Mei 2018 hingga Jun tahun lepas serta memerintahkan agar semua hak kewangan tertunggak yang layak mereka terima dibayar sehingga DUN Pulau Pinang bagi tempoh itu dibubarkan.
DUN Pulau Pinang dan Law tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan Anand mengenai Khaliq Mehtab dan Zolkifly.
Sementara itu, Zulkifli dan Dr Afif gagal dalam permohonan di Mahkamah Rayuan pada 26 Nov tahun lepas.
Mereka kemudian memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan.
Keempat-empat bekas ADUN terbabit telah memfailkan saman pemula memohon deklarasi mahkamah bahawa usul yang diluluskan oleh DUN Pulau Pinang pada 6 Mac 2023 agar mereka mengosongkan kerusi masing-masing adalah batal dan tidak sah.
Mereka menamakan Law dan DUN Pulau Pinang sebagai defendan.
Keempat-empat mereka telah bertanding pada Pilihan Raya Negeri 2018 menggunakan logo PKR. Ketika itu, Pakatan Harapan adalah terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan Bersatu.
Zulkifli dan Dr Afif kemudian telah dipecat daripada PKR susulan Langkah Sheraton pada 2020. Bersatu telah meninggalkan Pakatan Harapan pada 2020 dan membentuk kerajaan bersama BN, PAS serta beberapa parti daripada Sabah dan Sarawak.
Pada prosiding hari ini, Zulkifli dan Dr Afif turut diwakili peguam Chetan Jethwani.
-- BERNAMA