PUTRAJAYA, 10 Feb (Bernama) -- Bekas Duta Malaysia ke Arab Saudi hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau tidak mendengar perbualan berkaitan bantuan dana yang dibincangkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Raja Arab Saudi Almarhum Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud dalam satu pertemuan pada Januari 2010.
Profesor Datuk Syed Omar Al-Saggaf, 81, yang menyertai perjumpaan berkenaan berkata beliau berada jauh di belakang mereka dan tidak mendengar perkara dibincangkan oleh bekas perdana menteri dan Raja Abdullah.
Saksi pembelaan kelima itu berkata demikian ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar pada perbicaraan kes Najib berhubung dakwaan penyelewengan RM2.3 bilion daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Ketika Raja Abdullah dan Najib berjalan keluar dari dewan, saya nampak mereka bersalaman dan Najib begitu teruja.
“Najib yang nampak teruja ketika datang ke arah saya, kemudian beritahu bahawa kita telah berjaya. Kita dapat bantuan dana, tetapi dalam bentuk apa bantuan itu, saya tidak tahu.
“Mesyuarat ini bukan mudah untuk diaturkan dan memakan masa begitu lama untuk tetapkan tarikhnya. Saya selaku Duta Besar mengetuai Kedutaan Malaysia untuk merealisasikan pertemuan ini.
“Hasilnya, seingat saya, pada 11 Jan 2010 satu mesyuarat secara tidak rasmi (tertutup) telah diadakan. Lawatan rasmi perdana menteri bermula hanya pada 13 hingga 16 Jan 2010,” kata saksi itu.
Pada 30 Okt tahun lepas, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mengarahkan Najib untuk membela diri selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Najib menghadapi 25 pertuduhan, termasuk empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima RM2.3 bilion dana 1MDB sebagai rasuah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.
Perbicaraan bersambung Rabu ini.
-- BERNAMA