AM

Malaysia-Turkiye Jalin Kerjasama Inovatif Dalam Kecerdasan Kuantum

11/02/2025 10:32 PM

KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Malaysia memasuki era baharu dalam inovasi teknologi hari ini dengan menjalin kerjasama penting bersama Turkiye yang memfokuskan kepada kecerdasan kuantum.

Memorandum Persefahaman (MoU) tiga pihak yang dimeterai semasa Forum Perniagaan Malaysia-Turkiye di sini melibatkan MIMOS Bhd (Malaysia), HAVELSAN (Turkiye) dan TechInsight Sdn Bhd (Malaysia) telah disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan.

Dalam satu kenyataan, MIMOS memaklumkan bahawa inisiatif ini sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi Negara Digital, didukung oleh visi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), yang berhasrat menjadikan Malaysia peneraju dalam teknologi canggih, khususnya dalam kecerdasan buatan (AI) dan kecerdasan kuantum.

Menurut kenyataan itu, MoU ini membentuk rangka kerja kukuh bagi Kerjasama Infrastruktur Kecerdasan Kuantum, menggabungkan kepakaran HAVELSAN, MIMOS dan TechInsight untuk memacu kemajuan dalam bidang AI dan kecerdasan kuantum.

"Di bawah kerjasama ini, TechInsight akan bertindak sebagai rakan komersialisasi perniagaan, memacu pelaksanaan Perkhidmatan Infrastruktur Kecerdasan Kuantum dalam industri utama," menurut kenyataan tersebut.

“Kerjasama ini akan memberi tumpuan kepada penilaian strategik, perkongsian sumber, model tadbir urus, dan rangka kerja operasi berskala, memastikan AI dan kecerdasan kuantum diintegrasikan dengan lancar bagi meningkatkan daya tahan teknologi dan daya saing ekonomi.

“Sebagai agensi strategik di bawah MOSTI, MIMOS memastikan kerjasama ini sejajar dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030, yang bertujuan memacu penerapan teknologi berimpak tinggi serta memperkukuh ekonomi berasaskan pengetahuan.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS Dr Saat Shukri Embong berkata kerjasama ini mengukuhkan komitmen Malaysia untuk menerajui sempadan teknologi serta memacu inovasi dan pertumbuhan ekonomi melalui kerjasama antarabangsa.

"Di bawah kepimpinan MOSTI, MIMOS terus menerajui penyelidikan berteknologi tinggi dalam AI dan Kecerdasan Kuantum, memastikan Malaysia kekal di barisan hadapan dalam kemajuan teknologi global," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HAVELSAN Dr Mehmet Akif Nacar menekankan kepentingan sinergi antara kedua-dua negara dalam membentuk masa depan infrastruktur kecerdasan. Beliau menyatakan bahawa MoU strategik ini menjadi asas kepada masa depan yang dipacu oleh AI dan kecerdasan kuantum.

"HAVELSAN komited untuk menerajui penyelesaian teknologi yang melangkaui batas inovasi. Melalui kerjasama dengan MIMOS dan TechInsight, kami memastikan kemajuan AI dan kecerdasan kuantum diintegrasikan dengan lancar ke dalam infrastruktur kritikal, sekali gus membuka laluan ke arah masa depan yang lebih pintar dan selamat," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan TechInsight Syed Sirajudeen Omer menegaskan bahawa syarikatnya komited untuk berada di barisan hadapan dalam evolusi teknologi, memastikan kecerdasan kuantum, AI dan teknologi lain diaplikasikan dalam penyelesaian dunia sebenar.

"Kerjasama ini membolehkan kami meneroka aplikasi inovatif dan membina infrastruktur kecerdasan yang kukuh untuk masa depan," tambahnya.

Kerjasama antara HAVELSAN, MIMOS, dan TechInsight ini dijangka merevolusikan industri teknologi global dengan mewujudkan penyelesaian infrastruktur kecerdasan berskala yang mampu menangani cabaran dunia nyata.

Dengan AI dan kecerdasan kuantum sebagai tunjang utama inisiatif ini, kerjasama ini berpotensi membuka peluang luar biasa dalam bidang pertahanan, keselamatan, telekomunikasi, bandar pintar, dan banyak lagi.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2391573