KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Malaysia selaku Pengerusi ASEAN boleh memainkan peranan menerajui usaha mempelopori pembangunan diplomasi keselamatan siber di rantau ini, kata Felo Operasi Psikologi Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin.
Beliau berkata diplomasi keselamatan siber boleh merapatkan jurang literasi digital dari segi keselamatan siber dalam kalangan negara ASEAN selain memudahkan elemen penguatkuasaan melibatkan jenayah siber serantau.
“ASEAN boleh mewujudkan diplomasi keselamatan siber dengan menggunakan pengalaman Malaysia dan membangunkan satu platform khusus seperti polis antarabangsa (Interpol) untuk menyiasat dan memastikan perkara seperti salah laku keselamatan siber ditangani dengan baik dalam diplomasi keselamatan siber.
“Negara Kesatuan Eropah telah terkedepan dalam membina kerangka bersandarkan akta yang lebih kuat. Jadi penting untuk ASEAN menerajui diplomasi keselamatan siber bagi memberikan satu ekosistem Internet yang lebih selamat dan memastikan kerjasama semua negara ASEAN dapat berlaku bagi mencegah perkara seperti ancaman radikal dan subversif,” katanya kepada Bernama.
Noor Nirwandy berkata sekiranya dapat direalisasikan, ia akan memberikan imej yang baik kepada Malaysia dalam membawa perubahan terhadap keselamatan siber di rantau ini.
Hari Keselamatan Internet diraikan pada hari kedua, minggu kedua Februari setiap tahun di lebih 200 negara seluruh dunia.
Di Malaysia, sambutan hari ini bertemakan ‘Kepercayaan Digital: Membina Komuniti Berdaya Tahan’.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik UiTM Dr Mohsen Mohamad Hata berkata aspek keselamatan dalam talian penting kerana Internet adalah platform untuk individu saling berhubung dan mendapatkan maklumat.
“Teknologi keselamatan siber juga perlu lebih inovatif supaya menjadi benteng pertahanan terhadap serangan yang kompleks dan canggih,” katanya.
Mohsen berkata inisiatif yang dilaksanakan kerajaan antaranya penggubalan serta pindaan beberapa akta berkaitan keselamatan dalam talian menunjukkan negara berada di landasan yang tepat dalam usaha memperkasakan keselamatan dalam talian.
Namun, pada masa sama katanya ia memerlukan keterlibatan semua pihak bagi memastikan inisiatif terbabit berjaya.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil pula berpendapat literasi digital perlu diterapkan dalam sistem pendidikan negara.
Menerusi maklumat yang diperoleh di dalam kelas, Siraj berkata pelajar boleh menjadi subejen untuk menyampaikan maklumat kepada ahli keluarga berkaitan aplikasi dan teknologi digital.
-- BERNAMA