AM

Peperiksaan SPM 2024 Berjalan Lancar - KPM

12/02/2025 10:35 AM

PUTRAJAYA, 12 Feb (Bernama) -- Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang berlangsung dari 2 Dis hingga 6 Feb lepas, berjalan lancar dengan 402,956 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan tersebut di 3,337 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan walaupun peperiksaan SPM 2024 diadakan dalam musim Monsun Timur Laut yang menyebabkan bencana banjir di beberapa negeri, namun ia tetap berjaya dilaksanakan dengan baik.

"Keberhasilan ini adalah hasil daripada kesiapsiagaan awal, pengurusan yang cekap, dan kerjasama erat dengan agensi kerajaan seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Kesihatan, jabatan pendidikan negeri, pihak sekolah, ibu bapa, dan komuniti," menurut kenyataan itu.

KPM juga merakamkan penghargaan kepada semua 126,636 petugas peperiksaan, termasuk 5,780 sukarelawan yang terdiri daripada pesara guru, yang dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan SPM 2024. 

Kementerian turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua calon peperiksaan SPM 2024 atas semangat juang, kecekalan dan kejayaan menduduki peperiksaan termasuk dalam situasi mencabar.

"KPM mendoakan yang terbaik untuk semua calon peperiksaan SPM 2024. Semoga kejayaan menjadi milik anda untuk terus melakar kecemerlangan pada masa hadapan," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2391610