KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Hasil dividen Public Bank Bhd (PBB) dijangka meningkat melebihi 5.0 peratus mulai tahun ini walaupun harga sahamnya tidak berubah, kata CIMB Securities Sdn Bhd.
CIMB Securities berkata harga saham PBB tidak berubah kemungkinan disebabkan kebimbangan terhadap potensi lebihan saham yang berpunca daripada skim tawaran jualan terhadnya (ROFS).
“Kami percaya masih banyak ruang untuk PBB meningkatkan nisbah pembayaran dividennya kepada sekurang-kurangnya 60 peratus (Tahun Kewangan 2023: 55.5 peratus) secara mampan.
“Kami mengunjurkan nisbah pembayaran dividen sebanyak 58.0 peratus bagi Tahun Kewangan 2025, 58.2 peratus bagi Tahun Kewangan 2026 dan 58.3 peratus bagi Tahun Kewangan 2027,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.
CIMB Securities berkata PBB baru-baru ini mengumumkan nisbah Ekuiti Biasa Tier 1 (CET1) kumpulan pada 14.3 peratus bagi Suku Ketiga 2024, yang turun sedikit berbanding 14.5 peratus pada Suku Kedua 2024.
Kadar ini, katanya, adalah tinggi dan sangat konservatif yang menunjukkan lagi kemungkinan berkurangan kepada 13 peratus.
"Ini membayangkan modal tambahan sebanyak RM3.4 bilion atau 18 sen sesaham yang mungkin dikeluarkan jika PBB mengurangkan saiz nisbah CET1 kumpulannya kepada 13.0 peratus," katanya.
Keseluruhannya, CIMB Securities mengekalkan saranan “beli” bagi saham PBB dengan harga sasaran pada RM5.60 sambil mengurangkan unjuran pendapatan bersihnya pada 2024 sebanyak 4.8 peratus dengan mengambil kira anggaran RM464 juta rosot nilai daripada unitnya di Hong Kong unit.
Bagaimanapun, pulangan ekuiti (ROE) dan nilai aset bagi 2025 kebanyakannya tidak berubah.
-- BERNAMA