PUTRAJAYA, 12 Feb (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan kerajaan Republik Türkiye sedang meneroka peluang kerjasama untuk meningkatkan keterjaminan dan keselamatan pembekalan tenaga, serta merangsang pertumbuhan ekonomi melalui pelaburan hijau.
PETRA dalam kenyataan hari ini memaklumkan sesi pertukaran surat hasrat bagi kerjasama tersebut diadakan semalam, sempena lawatan rasmi Presiden Türkiye Recep Tayyip Erdoğan
Menurut PETRA antara bidang kerjasama yang digariskan merangkumi pengoperasian pasaran elektrik, pengukuhan dan pembangunan sistem grid, peningkatan sumber tenaga boleh baharu, ekplorasi potensi tenaga nuklear, serta mekanisme pelaburan dan pembiayaan dalam sektor tenaga.
Kerjasama tersebut akan dilaksanakan melalui pelbagai platform seperti seminar, forum, perbincangan teknikal, lawatan kerja, pertukaran kepakaran dan pengetahuan teknikal serta pelaksanaan projek secara bersama dalam bidang berkaitan tenaga elektrik.
"Kerjasama strategik ini adalah selaras dengan komitmen Malaysia untuk mencapai masa depan rendah karbon dan mampan seperti yang dinyatakan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
"Malaysia berhasrat untuk mempercepatkan agenda peralihan tenaga dengan memanfaatkan kepakaran dari Republik Türkiye dalam bidang tersebut," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA