Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 12 Feb (Bernama) -- Presiden Indonesia Prabowo Subianto, menerima kunjungan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, di Istana Presiden di Bogor pada Rabu bagi menghadiri mesyuarat pertama Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi (HLSCC) antara kedua-dua negara.
Selepas upacara sambutan ringkas, kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan tertutup selama sejam bagi membincangkan isu utama dua hala.
Semasa perbincangan HLSCC, pemimpin dan delegasi mereka memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hubungan ekonomi, perdagangan dan pelaburan, meningkatkan kerjasama dalam pertahanan dan industri pertahanan, serta memperdalam kerjasama keselamatan.
Mereka turut meneroka perkongsian dalam bidang keselamatan tenaga, pembangunan infrastruktur, serta sektor berteraskan rakyat seperti pendidikan, kesihatan dan pengurusan bencana.
Kedua-dua pemimpin juga komited untuk memajukan kerjasama budaya dan memperkukuh kolaborasi di peringkat serantau serta global.
Mesyuarat itu diakhiri dengan pemeteraian 12 memorandum persefahaman (MoU) merangkumi pelbagai sektor, termasuk pendidikan Islam, tenaga dan mineral, pendidikan tinggi, kesihatan dan perubatan, pertahanan, perdagangan, pertanian, pelaburan dan industri hiliran.
Antara perjanjian penting yang dimeterai ialah penubuhan jawatankuasa kerjasama industri, usaha sama bagi pembangunan dron, serta tiga perjanjian berkaitan kerjasama antara radio, televisyen dan agensi berita nasional kedua-dua negara.
Dalam sidang media bersama, Prabowo berkata mesyuarat itu merupakan mekanisme utama bagi kedua-dua negara untuk memperkukuh kerjasama demi kesejahteraan rakyat serta mewujudkan keamanan dan kestabilan dunia.
Beliau menyatakan bahawa Indonesia dan Turkiye berikrar untuk meningkatkan perdagangan dua hala, memuktamadkan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif (CEPA), memperluas pertukaran produk, serta memperkukuh kerjasama dalam bidang pertahanan dan keselamatan, termasuk latihan angkatan tentera serta perkongsian maklumat perisikan.
Mengenai hubungan antarabangsa, Prabowo menegaskan bahawa kedua-dua negara percaya penyelesaian bagi keamanan di Palestin adalah melalui kemerdekaan Palestin menerusi penyelesaian dua negara.
“Kami juga menyokong keamanan di Syria dan Ukraine,” katanya dalam sesi yang disiarkan secara langsung menerusi saluran YouTube Biro Akhbar, Media dan Maklumat (BPMI) Sekretariat Presiden.
Sementara itu, Erdogan menggariskan rancangan untuk meningkatkan perdagangan dua hala kepada US$10 bilion setahun serta memperluas kerjasama dalam sektor tenaga, penjagaan kesihatan dan pertahanan menerusi projek sedia ada dan baharu.
Beliau turut menekankan kepentingan meningkatkan hubungan antara rakyat dengan memperluas program biasiswa, pertukaran budaya dan kerjasama dalam sektor pelancongan, termasuk meningkatkan sambungan penerbangan serta mempromosikan destinasi pelancongan.
Erdogan juga menegaskan peranan penting Indonesia dalam mempererat hubungan dengan ASEAN, dengan berkata, “Memandangkan Sekretariat ASEAN berpusat di Indonesia, saya yakin Indonesia akan menyokong kami dalam memperkukuh dialog antara Turkiye dan ASEAN.”
-- BERNAMA