AM

2,000 Pelajar Bandar Tun Razak Terima Bantuan Persekolahan

13/02/2025 03:18 PM

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Seramai 2,000 pelajar tingkatan lima dari sekolah menengah harian di Bandar Tun Razak menerima bantuan persekolahan daripada Ahli Parlimen kawasan itu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini.

Menerusi program Kembali Ke Sekolah, setiap pelajar dari 10 sekolah menengah harian di kawasan itu menerima bantuan berupa beg sekolah lengkap dengan nama masing-masing serta logo sekolah, alat tulis dan wang tunai RM100.

Dr Wan Azizah yang juga isteri Perdana Menteri berkata pada Januari lepas, bantuan sama turut disalurkan kepada hampir 1,000 pelajar tahun satu dan tingkatan empat di kawasan Parlimen berkenaan.

“Majlis hari ini melibatkan penyampaian bantuan kepada pelajar tingkatan lima dari lima sekolah menengah di Bandar Tun Razak, manakala baki pelajar lain akan menerimanya secara berperingkat dengan penyelarasan Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak.

“Saya menyeru lebih ramai pihak, termasuk individu dan syarikat korporat yang berkemampuan untuk melaksanakan program seumpama ini bagi membantu keluarga membuat persiapan menghadapi musim persekolahan akan datang,” katanya dalam ucapan perasmian sempena program itu.

Turut hadir Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Azman Abidin.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2392099