SUKAN

Dollah, Zainal Rancang Tingkat Mutu Bola Sepak Negara

15/02/2025 06:31 PM

SUBANG JAYA, 15 Feb (Bernama) -- Dua legenda bola sepak negara Datuk Dollah Salleh dan Datuk Zainal Abidin Hassan bersedia melaksanakan perancangan bersama bagi meningkatkan mutu sukan itu selepas dipilih menganggotai barisan kepimpinan baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Pada kongres pemilihan badan induk sukan itu bagi penggal 2025-2029, desas-desus yang dinantikan peminat bola sepak tanah air terjawab selepas Dollah menjadi bekas pemain pertama menggalas peranan Naib Presiden FAM, sementara Zainal sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco).

Dollah berkata beliau komited untuk menyumbang tenaga dan pengalaman dalam usaha memperkasakan bola sepak negara bersama rakan seangkatannya itu.

“Saya akan melakukan yang terbaik berdasarkan pengalaman selama 30 hingga 40 tahun dalam bola sepak. Saya dan Zainal pernah berbincang mengenai perancangan untuk membangunkan bola sepak negara daripada peringkat akar umbi hingga ke pasukan senior.

“Kami akan berusaha untuk berkomunikasi dan menyumbangkan idea yang dapat membantu meningkatkan mutu bola sepak Malaysia,” katanya ditemui selepas kongres pemilihan FAM penggal 2025-2029 di sini hari ini.

Terdahulu, pada pemilihan berkenaan Dollah memperoleh 16 undi serta mengiringi tiga lagi Naib Presiden dipilih iaitu Datuk Seri Rosmadi Ismail (17 undi), N Saaran (13 undi) dan Datuk Mohd Azhar Jamaluddin (17 undi).

Zainal pula memperoleh 18 undian, yang juga tertinggi dalam kalangan 14 calon bertanding bagi merebut jawatan Exco.

Zainal dalam pada itu menyuarakan keterujaan apabila mendapat sokongan penuh ahli gabungan selain menyifatkan tanggungjawab bakal dipikul sebagai satu amanah besar.

“Kami memang mempunyai perancangan untuk memperbaiki dan memajukan bola sepak negara. Kalau tiada perancangan kami tidak akan berada di sini.

“Kami sebelum ini hanya membayangkan untuk berkongsi pengalaman, tetapi tidak sangka dapat berada dalam kepimpinan FAM. Ini bukan kejutan tetapi penghargaan yang perlu kami jalankan dengan sebaiknya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2392878