SEGAMAT, 16 Feb (Bernama) -- Kerja pemadaman kebakaran sebuah stor simpanan bahan kitar semula di Kampung Usaha Jaya, Labis, di sini yang memasuki hari ketiga hari ini terpaksa menggunakan teknik menimbus bahan yang sedang terbakar dengan tanah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labis Penolong Penguasa Bomba Muhammad Hafifie Md Sarif berkata bahan terbakar itu melibatkan sanga aluminium dan jika menggunakan air ataupun buih, ia boleh menyebabkan tindak balas kimia yang menghasilkan gas hidrogen berbahaya, selain memburukkan lagi kebakaran.
“Teknik menyelimut bahan yang sedang terbakar (dengan tanah) terpaksa dilakukan kerana tidak boleh menggunakan sumber air serta buih. Sebuah mesin pengorek dan dua jengkaut digunakan dalam operasi hari ini setelah ditangguhkan 7 malam semalam kerana ketiadaan tanah dan pasir,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata sejurus menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira 8 pagi Jumaat, 25 anggota bersama tiga jentera BBP Labis telah dikejarkan ke tempat kejadian.
Muhammad Hafifie berkata setibanya di lokasi, pasukannya mendapati kebakaran itu berskala besar melibatkan sanga aluminium di stor kilang yang dipercayai haram itu.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor sudah meletakkan alat pengukur kualiti udara di Klinik Desa Sungai Karas, di sini yang terletak satu kilometer dari lokasi kebakaran.
“Setakat ini normal dan bacaan kualiti udara di lokasi berhampiran juga sentiasa diambil anggota JAS Johor. Pemantauan terus dilakukan dan pemberitahuan akan dibuat dari semasa ke semasa berkaitan kualiti udara di kawasan sekitar,” katanya
--BERNAMA