AM

Pendapatan Sarawak Dijangka Meningkat Lagi Tahun Ini - Abang Johari

16/02/2025 10:18 PM

KUCHING, 16 Feb (Bernama) --Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg optimis pendapatan negeri tahun ini berkemungkinan mencatatkan pertambahan dan lebih tinggi berbanding tahun lepas bagi membolehkan kerajaan negeri meneruskan usaha menambah baik infrastruktur serta melaksanakan program kesejahteraan rakyat.

Tanpa menyatakan secara spesifik jumlah pendapatan yang bakal dijana, katanya Sarawak telah diiktiraf oleh Bank Dunia dan Ketua Audit Negara kerana berjaya menguruskan kewangannya dengan baik.

“Kita ada sijil… clean certificate dalam menguruskan kewangan kita. Jadi, pendapatan kita tahun ini saya fikir mungkin akan naik lagi,” katanya semasa menggulung perbahasan dalam Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, hari ini.

Pada tahun lepas, Sarawak mencatatkan pendapatan berjumlah RM14.2 bilion, yang merupakan catatan tertingginya setakat ini.

Beliau, yang juga Presiden PBB, berkata pendapatan yang meningkat ini, antara lain, akan digunakan khususnya untuk membina lebih banyak infrastruktur baharu di Sarawak serta menambah baik kemudahan kesihatan di negeri itu.

Abang Johari berkata langkah itu bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat tetapi juga menjadi satu lagi sumber untuk menjana pendapatan.

“Pelancong perubatan...orang yang datang ke negeri kita untuk mendapatkan rawatan, telah bertambah. Hospital kita juga akan bertambah melalui pelaburan sektor swasta. Ini petanda bahawa pelabur melihat Sarawak mempunyai potensi untuk menjadi hab penjagaan kesihatan,” katanya.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata Sarawak akan terus memperjuangkan haknya di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berlandaskan undang-undang yang sedia ada, khususnya Perlembagaan Persekutuan dengan mengambil kira kepentingan negara dan negeri.

Beliau berkata ahli-ahli PBB kini telah mencapai satu tahap pemahaman yang lebih baik mengenai hak-hak Sarawak dalam persekutuan berdasarkan MA63 yang menjadikan mereka lebih lantang dalam menyuarakan hasrat mereka.

“Kita tidak mahu bergaduh. Ikut sahaja apa yang ada dalam undang-undang,” katanya, merujuk kepada isu hak Sarawak dalam pengurusan sumber gas yang dihasilkan di negeri itu serta haknya dalam pelantar benua.

Menyentuh keputusan pemilihan parti semalam, beliau berkata mana-mana calon yang tidak berjaya dipilih untuk menganggotai Majlis Tertinggi PBB tetap akan dibawa bersama untuk meneruskan perjuangan parti itu.

“Dalam pemilihan, memang ada menang dan kalah. Itu bermakna demokrasi berjalan dalam PBB. Namun, semua, termasuk yang kalah tetap bersama kita untuk meneruskan perjuangan.

“Mereka juga akan diberikan jawatan dan fungsi bagi menyumbang kepada parti,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2393134