KUCHING, 18 Feb (Bernama) -- Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mencadangkan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) menjalankan kajian berkaitan habitat ikan terubuk di Batang Lupar.
Beliau berkata hal ini kerana SFC mempunyai teknologi baharu seperti peranti dan peralatan untuk menyelidik serta meneroka dasar sungai bagi mendapatkan data mengenai habitat dan cara ikan itu membiak.
“Dahulu ada kajian berkaitan ikan terubuk dijalankan di Pulau Seduku, pusat penyelidikan dengan bantuan daripada New Zealand, namun sehingga hari ini tidak ada hasilnya.
“Jadi dengan teknologi ini, kita boleh mencari cara untuk membiakkan terubuk kerana terubuk di Batang Lupar dengan Batang Lassa berlainan sedikit,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Wisma Lestari SFC di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata kawasan Kota Sentosa akan diwartakan sebagai rizab alam semula jadi dan menjadi tempat untuk menjalankan penyelidikan.
“Di sini ada Makmal Forensik (di Wisma Lestari), tadi saya diberi taklimat oleh Ketua Pegawai Eksekutif SFC Abang Arabi Abang Aimran mengenai sejenis daun yang sangat bernilai harganya.
“Satu daun ini bernilai USD320 dan boleh berkembang dengan cara tanaman baharu. Jadi ini adalah satu khazanah yang ada di Sarawak dan harus dijaga, SFC akan bertanggungjawab untuk mempertahankan dan membuat penyelidikan,” katanya tanpa mendedahkan spesies daun yang dikatakan berharga itu.
-- BERNAMA