JENAYAH & MAHKAMAH

Wanita Disyaki Buang Bayi Direman Empat Hari

17/02/2025 04:19 PM

GEORGE TOWN, 17 Feb (Bernama) -- Seorang wanita yang ditahan susulan penemuan bayi lelaki di perhentian bas Jalan Perak, Pulau Tikus di sini semalam, direman empat hari bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata wanita warga tempatan berusia 20 tahun itu kini masih menerima rawatan di hospital dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

"Wanita itu direman hingga 20 Feb ini bagi membantu siasatan kes tersebut di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan manakala bayi yang ditemui itu juga berada dalam pemantauan perubatan di hospital," katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, media melaporkan bayi tersebut yang diletakkan di dalam beg kertas ditemukan orang awam di perhentian bas, yang kemudiannya membuat laporan di balai polis.

Hasil siasatan mendapati bayi itu dipercayai baru dilahirkan dan ditinggalkan oleh suspek di tempat kejadian pada 8.03 pagi sebelum wanita tersebut ditahan di sebuah hospital swasta di sini pada 2.20 petang semalam.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2393329