EKONOMI

Kesepakatan Petronas-Petros Beri Kepastian, keyakinan Terhadap Sektor Minyak Dan Gas Negara 

17/02/2025 05:57 PM

Oleh NurulJannah Kamaruddin

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Kesepakatan yang tercapai antara Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) akan memastikan sektor industri minyak dan gas negara terus kekal mampan, sekali gus memberi keyakinan kepada pelabur terhadap daya saing sektor tersebut.

Geostrategis dan Felow Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) Profesor Dr. Azmi Hassan berpendapat persetujuan Kerajaan Negeri Sarawak agar Petronas mengekalkan semua perjanjian (obligasi berkontrak) adalah langkah penting dalam memastikan kestabilan dan kelangsungan sektor minyak dan gas di negeri itu.

“Ini penting berikutan Petronas sebagai syarikat bertaraf antarabangsa perlu menunjukkan mereka menghormati perjanjian-perjanjian yang telah dilaksanakan.

“Persetujuan kerajaan negeri Sarawak melalui Petros dalam hal ini memberikan satu gambaran yang baik bahawa mereka menghormati perundangan antarabangsa melalui perjanjian yang telah dijalankan sebelum ini,” katanya kepada Bernama.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan menghargai aspirasi Sarawak yang berhasrat menceburi industri minyak di negeri tersebut.

Hasrat ini diterjemahkan melalui Ordinan Pengagihan Gas 2016 (Pindaan) (DGO) yang akan berkuat kuasa pada 1 Mac 2025.

“DGO dibaca sekali dengan Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA), maka Petros (Petroleum Sarawak Bhd) berperanan sebagai agregator di Sarawak," kata beliau pada Sesi Penerangan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini. 

Menjelaskan selanjutnya, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata peranan itu tetap mengesahkan kelulusan sebelumnya kepada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan anak-anak syarikatnya. 

“Ini bermakna Petronas akan mengekalkan semua perjanjian (obligasi berkontrak) domestik dan antarabangsa yang sedia ada," kata Anwar. 

Di bawah ordinan itu, Petros dijamin memperoleh gas asli sehingga 1.2 bilion kaki padu sehari untuk keperluan domestik Sarawak dengan jaminan penambahan berdasarkan keperluan berikutnya. 

Perdana Menteri berkata Petros juga berhak meluaskan kegiatan yang baharu dan memanfaatkan kerjasama dengan Petronas. 

Azmi berkata dengan keperluan modal besar dalam industri minyak dan gas, kedua-dua pihak perlu memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pembangunan sektor ini.

Menurutnya, Petronas berjaya maju ke hadapan kerana mereka memperuntukkan perbelanjaan modal yang besar untuk tujuan eksplorasi dan pembangunan masa hadapan.

“Jarang sekali kita lihat sebuah negara selain di Malaysia, hal minyak dan gas ini diuruskan di peringkat persekutuan kerana modal yang diperlukan adalah banyak dan juga agihan pendapatannya adalah untuk semua yang berada dalam negara tersebut.

“Dalam kes Malaysia adalah untuk semua 11 negeri yang berada dalam persekutuan Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, modal kerjasama perlu dilaksanakan secara adil, memandangkan Petros bertanggungjawab untuk Sarawak sahaja, manakala Petronas melibatkan 10 negeri lain termasuk Sarawak.

Beliau melihat Akta Petroleum 1974 sebagai satu undang-undang yang berkesan, selari dengan perundangan antarabangsa yang memastikan hak milik minyak dan gas dikawal dan memastikan negeri-negeri merasai limpahan yang sewajarnya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2393412