EKONOMI

ASEAN Komited Untuk Terus Perkukuh WTO, Ketengah Isu Pembaharuan - Wakil Tetap Malaysia

20/02/2025 12:50 PM

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- ASEAN komited untuk terus menyumbang secara konstruktif bagi memperkukuh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), termasuk menerusi penglibatan dengan negara anggota lain serta pelbagai pihak berkepentingan di platform yang ada.

Wakil Tetap Malaysia ke WTO Syahril Syazli Ghazali berkata ketidaktentuan geopolitik selain pendekatan bersifat perlindungan dan sebelah pihak yang diperkenalkan oleh negara tertentu, mempunyai kesan meluas terhadap rantaian perdagangan dan bekalan global, terutama negara yang bergantung kepada eksport seperti Malaysia.

Dalam kenyataannya kepada Bernama, beliau berkata sejajar dengan kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN kali ini, Putrajaya akan mengetengahkan suara 10 negara anggota blok itu serta isu penting berkaitan pembaharuan dalam WTO.

Ini termasuk menangani aspek pemecahan perdagangan selain memastikan impak penting ketika Sesi Persidangan Peringkat Menteri WTO Ke-14 (MC14) yang dijadual diadakan di Yaunde, Cameroon, pada 26-29 Mac, 2025.

Beliau juga menekankan kewajaran bagi ASEAN mengiktiraf kepentingan WTO dalam menegakkan serta melindungi sistem perdagangan pelbagai hala serta peranan sebagai “rakan sistem” berkenaan.

Terdahulu, Syahril Syazli menyertai mesyuarat Majlis Agung (GC) pertama WTO untuk tahun ini pada 18-19 Feb, 2025, di ibu pejabat pertubuhan itu di Geneva.

GC yang melibatkan barisan duta/wakil tetap, merupakan badan pembuat keputusan peringkat kedua tertinggi WTO selepas Persidangan Menteri-Menteri.

Beliau berkata selaku Pengerusi ASEAN, Malaysia telah menyampaikan kenyataan bersama dalam salah satu agenda GC iaitu “'WTO at 30” yang juga menjadi suara bagi pihak negara anggota ASEAN lain.

Syahril Syazli berkata antara isu lain yang turut dibincangkan oleh anggota pada GC itu adalah penggabungan Perjanjian Perdagangan Elektronik dan Pemudahcara Pelaburan untuk Pembangunan (IFD) (inisiatif plurilateral) ke dalam Rangka Kerja Pelbagai Hala.

Selain itu, GC membincangkan aspek pertanian mampan, pengembangan keahlian WTO dan langkah-langkah praktikal untuk meningkatkan proses pelantikan pegawai ke badan-badan tertentu pertubuhan itu.

Pada mesyuarat itu juga, kalangan ahli telah memilih Duta Besar Arab Saudi Saqer Abdullah Almoqbel sebagai pengerusi seterusnya bagi menggantikan Duta Norway Petter Olberg.

“Ketua Pengarah WTO Dr Ngozi Okonjo-Iweala mahu mengadakan sambutan bagi pencapaian 30 tahun WTO dengan ahlinya melibatkan diri dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam satu program bagi mencerminkan kejayaan serta cabaran organisasi setakat ini," katanya.

Beliau berkata ASEAN turut menganggap ulang tahun berkenaan sebagai peristiwa penting untuk WTO dalam mencerminkan serta meraikan kejayaan menggalakkan perdagangan adil dan inklusif yang telah memberi manfaat kepada berjuta-juta orang di seluruh dunia.

“Memandangkan kita berdepan cabaran dan ketidaktentuan baharu, WTO boleh memanfaatkan pencapaian ini untuk memperbaharui semangat dan komitmennya dalam mengukuhkan sistem perdagangan pelbagai hala," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2394456