EKONOMI

Unit EcoWorld Malaysia Jual Tanah 56.06 Hektar Di Iskandar Malaysia Pada RM693.96 Juta

17/02/2025 08:06 PM

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Anak syarikat EcoWorld Malaysia, Eco Business Park 1 Sdn Bhd menjual tanah pegangan bebas seluas 56.06 hektar di Eco Business Park I di Iskandar Malaysia, Johor kepada  Microsoft Payments (Malaysia) Sdn Bhd pada harga RM693.96 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, pemaju hartanah itu berkata tanah berkenaan terdiri daripada 117 lot tanah kosong hak pegangan bebas dan rizab jalan.

"Sebahagian RM693.9 juta yang dijangka diterima daripada penjualan tanah tersebut akan digunakan untuk menyiapkan pembangunan infrastruktur utama serta menampung perbelanjaan berkaitan yang dijangka akan ditanggung dalam tempoh 24 bulan dari tarikh perjanjian jual beli (SPA).

“Sementara baki akan digunakan sebagai modal kerja bagi kumpulan syarikat EcoWorld Malaysia,” menurut makluman itu.

Sebelum ini, EcoWorld Malaysia berjaya menjual dua lot tanah strategik di taman perniagaan QUANTUM Edge kepada pengendali pusat data pada tahun kewangan 2024, menjana hasil keseluruhan sebanyak RM626 juta.

Syarikat itu berkata termasuk tanah yang dicadangkan untuk dijual, jumlah jualan tanah kepada pemain pusat data melebihi RM1.3 bilion dalam masa kurang daripada setahun, meningkatkan rizab tunai kumpulan berjumlah RM1.36 bilion setakat 31 Oktober 2024.

“Ini menunjukkan EcoWorld Malaysia berada dalam kedudukan yang baik bukan sahaja untuk meningkatkan simpanan tanahnya tetapi juga untuk mengejar peluang strategik bagi mengembangkan portfolio aset pendapatan berulang dalam sektor komersial dan/atau perindustrian,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2393467