PASARAN

Ringgit Ditutup Kukuh Berbanding Dolar AS Susulan Jangkaan Penurunan Kadar AS

17/02/2025 07:57 PM

Oleh NurulJannah Kamaruddin

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Ringgit ditutup lebih kukuh berbanding dolar AS hari ini mendapat rangsangan daripada jangkaan bahawa Rizab Persekutuan Amerika Syarikat  (Fed) akan menurunkan kadar faedahnya.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.4300/4360 berbanding dolar AS daripada 4.4310/4385 pada Jumaat minggu lepas.

Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata data pengguna Amerika Syarikat (AS) yang lemah seperti jualan runcit yang lebih rendah dan kemerosotan sentimen pengguna menunjukkan kemungkinan besar Fed akan mengekalkan penurunan kadar faedahnya.

AS mencatatkan angka terkini jualan runcit yang lebih rendah daripada jangkaan, jatuh 0.9 peratus bulan ke bulan pada Januari berbanding unjuran penurunan 0.1 peratus.

Berikutan itu, katanya, ringgit secara amnya lebih kukuh berbanding dolar AS sepanjang hari dagangan, mencecah paras setinggi 4.4250 pada sesi pagi sebelum mereda kemudiannya.

“Ringgit nampaknya mencuba untuk melepasi paras sokongan segera pada RM4.43, dan ia berjaya melakukannya beberapa kali dalam tempoh dagangan hari ini,” katanya kepada Bernama.

Justeru, pasaran akan memantau rapat minit Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang akan dikeluarkan pada Khamis yang dijangka menerangkan lebih lanjut perbincangan mengenai pelonggaran monetari bagi tahun ini.

“(Ini) serta perkembangan positif kedudukan fiskal kerajaan Malaysia tahun lepas, yang lebih baik daripada jangkaan, membayangkan kecenderungan terhadap penyatuan fiskal.

“Ini juga harus diterjemahkan menjadi matriks kredit yang positif di mata agensi penarafan kredit, membayangkan kemungkinan aliran masuk dana asing ke dalam pasaran modal Malaysia,” katanya.

Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain. 

Unit tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.6413/6476 daripada 4.6437/6515 pada Jumaat minggu lepas, naik berbanding pound Britain kepada 5.5765/5840 daripada 5.5769/5863 tetapi susut berbanding yen Jepun kepada 2.92179/909.

Ringgit juga mencatatkan prestasi yang lebih baik berbanding kumpulan mata wang negara-negara ASEAN. 

Unit tempatan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3025/3072 daripada 3.3055/3113 pada Jumaat minggu lepas, meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.1349/1593 daripada 13.1761/2059, mengukuh berbanding peso Filipina kepada 77.6.6, namun menyusut berbanding rupiah Indonesia pada 272.9/273.4 daripada 272.6/273.2.

-- BERNAMA  

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2393476