EKONOMI

Diplomasi Semikonduktor Jadi Satu Daripada Tonggak Strategik Kerangka Dasar NSS -- PM Anwar

17/02/2025 09:49 PM

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) bersetuju supaya diplomasi semikonduktor menjadi satu daripada tonggak strategik dalam kerangka dasar Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menerusi satu hantaran di Facebook memaklumkan NSS dirangka bagi memperkukuh kerjasama sinergi dengan rakan kongsi antarabangsa serta negara ASEAN ke arah memastikan rantaian bekalan yang mampan selain berdaya tahan bagi pemain semikonduktor domestik dan global.

"Dalam hal ini, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri akan memupuk kerjasama yang lebih erat dalam aspek diplomasi semikonduktor serta inisiatif strategik yang boleh melonjak negara ke tahap yang lebih berketerampilan," kata beliau.

Hari ini, Mesyuarat MPN bersetuju dengan cadangan pelaksanaan kerangka dasar NSS.

Anwar berkata kerangka dasar ini akan memberi fokus strategik kepada pembangunan syarikat tempatan dengan sasaran mewujudkan 10 syarikat tempatan berkaitan semikonduktor dengan hasil dianggarkan antara RM1 bilion hingga RM4.7 bilion.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2393520