PASARAN

Ringgit Dibuka Tinggi Berbanding Dolar AS Menjelang Minit Mesyuarat FOMC Khamis Ini

18/02/2025 09:48 AM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa memandangkan pasaran terus mengalami dagangan secara berhati-hati menjelang minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS yang akan dikeluarkan pada Khamis, kata penganalisis.

Pada pukul 8 pagi, ringgit meningkat kepada 4.4250/4450 berbanding dolar AS daripada 4.4300/4360 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ketidaktentuan dasar ekonomi global terutama melibatkan dasar tarif import kerajaan AS dan ketidakukuhan pengaturan gencatan senjata di Gaza boleh mempengaruhi sentimen pasaran dengan mudah.

Beliau berkata Indeks Dolar AS (DXY) kekal sekitar 106 mata memandangkan pasaran AS ditutup pada Isnin sempena cuti Persekutuan, Hari Presiden.

“Oleh itu, kami menjangkakan pasaran mata wang kekal mengalami dagangan secara berhati-hati sebelum minit mesyuarat FOMC dikeluarkan Khamis ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata yen Jepun terus mencatatkan prestasi baik berbanding dolar AS, meningkat kepada 151.48 yen apabila pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Jepun bagi suku keempat 2024 mencatatkan 2.8 peratus, lebih tinggi daripada anggaran konsensus 1.0 peratus.

“Bank of Japan menaikkan kadar dasar sebanyak 25 mata asas kepada 0.50 peratus pada 24 Januari, kadar tertinggi dalam tempoh 17 tahun,” katanya.

Sementara itu, ringgit didagangkan rendah kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.

Ringgit naik berbanding euro kepada 4.6396/6606 daripada 4.6413/6476 ketika ditutup pada Isnin, dan susut berbanding pound British kepada 5.5848/6100 daripada 5.5765/5840.

Unit tempatan turun berbanding yen Jepun kepada 2.9216/9350 daripada 2.9179/9221.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang negara ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2985/3139 daripada 3.3025/3072 ketika penutupan dagangan pada Isnin, serta lebih stabil berbanding baht Thailand kepada 13.1263/1958 daripada 13.1349/1593.

Mata wang domestik tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 272.6/274.0 daripada 272.9/273.4 dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.62/7.66 daripada 7.63/7.65.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2393567