RENCANA

Malaysia Perlu Angkat Sektor Pelancongan ASEAN Ke Tahap Lebih Tinggi - Pakar

18/02/2025 12:46 PM
Daripada Nurqalby Mohd Reda

Bertemakan Unity in Motion: Shaping ASEAN’s Tourism Tomorrow, Forum Pelancongan ASEAN (ATF) 2025, melabuhkan tirai hampir sebulan lalu selepas bersidang selama enam hari bermula 15 Jan. 

Forum yang diadakan di Johor Bahru, Johor bersempena dengan kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia itu menumpukan pada pemupukan pelancongan yang mampan, berdaya tahan dan inklusif di rantau ini menerusi kerjasama negara anggota.

Melibatkan kesemua 10 anggota ASEAN dan rakan dialog, iaitu China, Jepun, Korea Selatan, India serta Rusia, antara pencapaian utama forum ialah penilaian pelaksanaan Pelan Strategik Pelancongan ASEAN (ATSP) 2016-2025 dan penyediaan ASEAN Tourism Outlook Towards 2030 atau unjuran pelancongan ASEAN menuju 2030.

Mengamati pencapaian forum, pakar berkata dari segi Malaysia sendiri selaku pengerusi perkumpulan serantau, seharusnya tempoh setahun ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk memacu negara dan juga ASEAN ke peringkat lebih tinggi dalam sektor pelancongan global.

Malaysia kata mereka, perlu meneruskan pencapaian ASEAN pada 2024 yang merekodkan ketibaan lebih 123 juta pelancong asing, iaitu peningkatan sebanyak 30.6 peratus berbanding tahun sebelumnya, didorong oleh insentif perjalanan seperti pelonggaran peraturan visa dan pengenalan produk pelancongan baharu.

 

KERJASAMA PERKUKUH INDUSTRI PELANCONGAN

Mengulas lanjut, pensyarah di Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan Universiti Malaysia Kelantan Fauzan Hafiz Muhammad Safri berkata ATF membuktikan wujudnya semangat kerjasama luar biasa, bukan sahaja dalam kalangan anggota ASEAN tetapi juga negara luar, dari segi meningkatkan sektor pelancongan rantau ini.


Fauzan Hafiz Muhammad Safri, pensyarah Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan UMK

“Penglibatan negara bukan anggota ASEAN seperti China, Jepun, Korea Selatan serta India pada forum berkenaan secara tidak langsung menterjemahkan sikap keterbukaan negara-negara ini untuk berkolaborasi bagi mengukuhkan sektor pelancongan global.

“Kita melihat dengan kerjasama ini akan ada usaha bersama dalam mempromosikan industri pelancongan, selain menarik minat pihak antarabangsa untuk melabur dalam pembangunan infrastruktur pelancongan  membabitkan negara-negara ASEAN,” katanya kepada Bernama.

Katanya Malaysia juga perlu merebut peluang ini untuk memperkukuh persiapan Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan meningkatkan kerjasama serantau, selain menarik pelaburan asing dalam sektor pelancongan negara.

Beliau berkata antara yang boleh dilakukan ialah menambah baik kemudahan rentas sempadan melibatkan negara anggota, seperti penyediaan sistem pas elektronik (e-pass) untuk pelawat dari negara-negara ASEAN.

“Kerjasama yang erat  dalam kalangan negara  anggota  secara tidak langsung membolehkan kita menyediakan kaunter khas atau ASEAN Fast Lane di pintu masuk negara termasuk di lapangan terbang dan pelabuhan. 

“Pelaksanaan sistem e-pass  pula akan mempercepat urusan pelawat ASEAN dan memudahkan tugas agensi penguat kuasa yang membuat kawalan di setiap pintu masuk dan keluar sempadan di negara masing-masing,” katanya.

Bagi menjamin keselamatan negara, beliau mengesyorkan anggota ASEAN membangunkan platform digital yang membolehkan perkongsian data dilakukan dalam kalangan pihak berkuasa dan agensi berkaitan bertujuan memantau pergerakan pelancong di negara yang mereka lawati.   

“Perkongsian data pelancongan ini juga membantu dari segi mengenal pasti destinasi pilihan mereka dan jumlah pelancong yang mengunjungi sesebuah negara dalam tempoh tertentu,” katanya.

Beliau juga menyarankan negara-negara ASEAN mewujudkan kolaborasi di peringkat universiti bagi menyediakan data tentang trend dan perkembangan industri pelancongan serantau yang seterusnya membantu usaha meningkatkan kedatangan pelancong ke Asia Tenggara.

 

PERSAINGAN SIHAT 

Sementara itu, pensyarah kanan Program Pengurusan dengan Pelancongan, Universiti Sains Islam Malaysia Dr Izwan Harith Md Ithnan berkata jalinan kerjasama serantau yang berterusan adalah penting bagi menyokong pewujudan persekitaran persaingan sihat sesama negara anggota.


Pelancongan antarabangsa, turut berpeluang berkunjung ke Masjid Ubudiah yang terletak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak. Malaysia antara negara Asean yang memperkenalkan pelancongan mesra muslim.

Justeru, anggota ASEAN katanya perlu memecahkan tembok atau halangan sedia ada, termasuk dasar negara yang tidak menjejaskan aspek keselamatan dan kedaulatan, bagi memupuk semangat kebersamaan melangkaui sempadan.

“Dalam konteks penyatuan ASEAN, Malaysia perlu memainkan langkah proaktif dan menggunakan peluang sebaiknya untuk memperkukuh komuniti serantau seiring dengan  peranan negara sebagai pengerusi ASEAN pada tahun ini.

“Malaysia harus menjadi ‘kunci’ kepada penyatuan ini selain menunjukkan komitmennya sebagai pemacu pembangunan pelancongan mampan di rantau ini, sekali gus membawa semangat kebersamaan dalam kalangan 10 negara anggota ASEAN itu,” katanya.

Tourism Malaysia dalam kenyataan baru-baru ini berkata ia mempergiat usaha mempromosikan pelancongan dengan melaksanakan lebih banyak misi jualan secara strategik di kawasan sempadan Malaysia dengan Singapura, Thailand, Indonesia dan Brunei.

Agensi itu berkata langkah terbabit dijangka membuka lebih banyak peluang kerjasama dan meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama di ASEAN, seiring dengan Tahun Melawat Malaysia tahun depan.

 

MESRA MUSLIM

Mengulas lanjut, Izwan Harith berkata antara produk ASEAN yang boleh diketengahkan secara bersama ialah pelancongan mesra Muslim yang pada masa ini diterajui oleh Malaysia.


Dr Izwan Harith Md Ithnan pensyarah kanan Program Pengurusan dengan Pelancongan, USM

Katanya populariti Malaysia dalam kalangan pengembara Muslim di rantau ini tidak dapat disangkal dan dibuktikan menerusi pencapaiannya sebagai Destinasi Percutian Mesra Muslim Terbaik dalam Indeks Pelancongan Muslim Global 2024 buat kali kesembilan berturut-turut.  

“Pengiktirafan berprestij itu dilihat bertepatan apabila Malaysia turut diumumkan sebagai destinasi mesra Muslim terbaik Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk tahun kedua berturut-turut oleh CrescentRating dan Mastercard pada ‘Halal in Travel Awards’ yang diadakan di Singapura  tahun lalu.

‘’Pencapaian ini didorong oleh kebolehpercayaan dan kebolehcapaian mereka (pelancong) kepada pelbagai kemudahan dan perkhidmatan  mesra Muslim yang tersedia (di negara ini) seperti tempat beribadat, makanan halal dan tempat penginapan,’’ katanya.

Beliau menambah Malaysia juga sentiasa berusaha memberikan pengalaman indah kepada pengembara Islam dengan tawaran pakej pelancongan mesra Muslim yang turut mendekatkan pelancong dengan agama Islam itu sendiri termasuk dari segi seni, warisan dan budaya Islam.

Namun katanya, pada masa sama produk serupa turut ditawarkan oleh Indonesia serta Thailand, dan Malaysia selaku peneraju, perlu bijak memanfaatkan peluang ini untuk mengetengahkan rantau ASEAN sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim terbaik di peringkat global.

Menurut beliau, perkara itu boleh dilakukan dengan menggemblengkan kelebihan yang ada di negara-negara berkenaan tanpa menenggelamkan potensi Malaysia bagi menonjolkan keistimewaan ASEAN sebagai pasaran pelancongan mesra Muslim.  

“Ringkasnya, Malaysia perlu sentiasa membaiki produk dan perkhidmatan yang ditawarkan agar dapat terus menerajui pasaran ini, namun pada masa sama mengetengahkan kelebihan ASEAN sebagai destinasi yang harus dilawati oleh pengembara-pengembara Muslim.

''Malaysia juga perlu menerapkan prinsip kepimpinan ASEAN dalam mempromosikan negara ini berdasarkan elemen keterangkuman dan kelestarian, yang mana seiring dengan pelancongan Islam iaitu Taaruf dan Taawanu. Melaluinya kita dituntut untuk saling mengenal antara satu sama lain dan saling bekerjasama untuk meraih kemajuan sekali gus melonjakkan ekonomi negara anggota,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2393590