AM

Seramai 448 Usahawan BAP, Beep Terima Geran Keusahawan Lebih RM60 Juta Pada 2024

18/02/2025 01:09 PM

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Seramai 448 usahawan Program Business Accelerator (BAP) 3.0 dan Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) menerima geran keusahawanan lebih RM60 juta  daripada Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP), pada 2024. 

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Seri R. Ramanan berkata daripada jumlah itu 226 usahawan menerima geran BAP berjumlah RM26.31 juta, manakala 222 usahawan telah meneirma geran BEEP yang berjumlah RM 34.4 juta. 

“Kedua-dua (program) ini akan diteruskan pada tahun 2025 dengan melibatkan peruntukkan RM55 juta bagi program BAP yang meyediakan pembiyaan secara hibrid dan pinjaman mudah dengan nisbah 40 peratus daripada geran dan 60 peratus pinjaman mudah.

“Program BEEP pula melibatkan peruntukan RM30 juta bagi tahun 2025 disediakan dalam bentuk geran padanan dan pinjaman melalui Penyedia Pembiaya yang dilantik,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan P. Prabakaran M Parameswaran (PH-Batu) mengenai geran kepada usahawan tempatan untuk mengadaptasi teknologi digital dalam perniagaan mereka dan apakah program latihan yang ditawarkan untuk memperkasakan usahawan dalam penggunaan platform digital.

Sementara itu Ramanan berkata pihaknya telah melaksanakan program latihan dan bimbingan untuk memperkasa usahawan dalam penggunaan platform digital bagi tahun 2024 dan tahun ini, seperti menerapkan elemen digitalisasi di dalam program bimbingan keusahawanan di Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).

Beliau berkata KUSKOP juga melaksanakan program Pembudayaan dan Pemerkasaan Keusahawanan Penjaja dan Peniaga Kecil (EmpowerPPK)  bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran penjaja serta peniaga kecil dalam menjalankan transaksi perniagaan secara digital. 

“Platform MyMall oleh KUSKOP menyediakan ruang pemasaran dalam talian secara percuma bagi produk atau perkhidmatan serta merangkumi latihan onboarding kepada usahawan terlibat dan Program N-GENE oleh PROTÉGÉ yang merupakan latihan keusahawanan bagi memberi pendedahan untuk mengembangkan perniagaan melalui latihan dalam talian,” katanya. 

Menjawab soalan tambahan Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar), Ramanan berkata pihaknya akan meneruskan Insiatif Live Hub TikTok Shop  di Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Kelantan, Pulau Pinang dan  Johor, dalam menyediakan platform digital kepada usahawan bagi memperluaskan pasaran produk mereka. 

Beliau berkata 257 usahawan telah menerimaan manfaat daripada platform berkenaan dan menjana keuntungan hampir RM5.3 juta. 

Ramanan berkata usahawan boleh menggunakan inisiatif Live Hub TikTok Shop yang disediakan bagi menghasilkan video berkualiti tinggi di TikTok Shop dengan menggunakan latar green screen profesional, pencahayaan bertaraf studio, tripod, monitor sebesar 22 inci dan banyak lagi. 

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2393630