KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Indeks Keyakinan Pengguna rakyat Malaysia melonjak empat peratus pada Januari 2025 berbanding setahun yang lepas, berdasarkan data tinjauan Firma Penyelidikan Pasaran Ipsos Sdn Bhd (Ipsos).
Ipsos dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa Indeks Keyakinan Pengguna negara khususnya melepasi purata global serta Jepun dan Korea Selatan.
“Situasi ini menunjukkan bahawa pengguna Malaysia lebih optimistik tentang prospek ekonomi mereka berbanding penduduk di negara-negara serantau yang lain,” menurut kenyataan itu.
Ipsos turut memaklumkan pertumbuhan positif ekonomi Malaysia dan inflasi yang stabil pada 2024 menyumbang kepada jangkaan pengguna yang menggalakkan.
Selain itu, pertumbuhan positif Indeks Keyakinan Pengguna didorong oleh peningkatan keyakinan dalam aspek keterjaminan pekerjaan, pelaburan masa depan dan kuasa beli.
“Hal ini menunjukkan bahawa pengguna lebih selesa dengan kedudukan kewangan peribadi mereka dan ia menyumbang kepada peningkatan perbelanjaan pengguna,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaparkan statistik mengenai perubahan komponen Indeks Keyakinan Pengguna dalam setahun iaitu Januari 2024 hingga Januari 2025 berdasarkan beberapa aspek utama.
“Tahap keyakinan merentas semua aspek utama didapati mengukuh empat hingga enam peratus dan hal ini menunjukkan peningkatan tahap keyakinan yang sihat dan kesanggupan untuk berbelanja dengan lebih, sekali gus merangsang ekonomi,” menurut kenyataan itu.
Statistik itu memaparkan mengenai aspek tahap keyakinan dengan keterjaminan pekerjaan yang menyaksikan peningkatan enam peratus pada Januari 2025 (56 peratus) berbanding Januari 2024 (50 peratus).
Selain itu, tahap keyakinan untuk melabur pada masa hadapan pula direkodkan 53 peratus pada Januari 2025 daripada 49 peratus bagi Januari 2024, sekali gus melonjak kepada empat peratus bagi tahun ini.
Bagaimanapun, Ipsos memaklumkan pada tahun ini dijangka memberikan peluang dan cabaran baharu seperti potensi gangguan iaitu perang tarif, ketidakstabilan geopolitik dan rasionalisasi subsidi yang boleh menjejaskan tahap keyakinan pengguna walaupun pertumbuhan ekonomi dijangka positif.
“Dalam hal ini, rakyat Malaysia perlu mengekalkan daya tahan untuk mengharungi ketidaktentuan ekonomi dengan berkesan dalam landskap ekonomi yang terus berkembang,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA