Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Aktiviti memburu saham-saham berharga rendah susulan sentimen pasaran serantau, terbukti memacu Bursa Malaysia yang melantun dan mencecah paras tertinggi intra harian pada akhir dagangan Jumaat.
Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 13.36 mata atau 0.84 peratus kepada 1,591.03 daripada 1,577.67 pada akhir dagangan semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka naik 2.25 mata kepada 1,579.92 dan seterusnya mencecah paaras rendah 1,578.14 dalam sesi awal sebelum kembali meningkat sehingga ke akhir dagangan hari ini.
Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 572 berbanding 448 manakala 506 lain tidak berubah, 826 tidak diniagakan dan 21 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.99 bilion unit bernilai RM2.63 bilion daripada 3.15 bilion unit bernilai RM2.43 bilion pada Selasa.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks serantau mengakhiri dagangan lebih tinggi, dipacu oleh minat belian ketara dalam saham-saham teknologi selepas mendapat rangsangan daripada laporan prestasi kewangan Alibaba Group Holding Ltd yang menunjukkan pertumbuhan hasil paling pantasnya dalam masa setahun.
“Di sebalik kebimbangan mengenai ketegangan geopolitik yang meruncing dan perang tarif yang ketara, saham-saham teknologi China kekal berdaya tahan selepas mendapat rangsangan daripada kemuncuan model kecerdasan buatan (AI) DeepSeek.
“Peningkatan indeks petunjuk utama itu didorong terutamanya oleh saham-saham utiliti, tenaga dan pengguna ketika pelabur mengambil kesempatan daripada kedudukan lebihan jualan yang turut membayangkan potensi pasaran lebih stabil,” katanya kepada Bernama.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI ditutup lebih tinggi hari ini, melepasi paras kritikal 1,590 dengan pemulihan dalam sektor minyak dan gas, produk pengguna, telekomunikasi dan pembinaan.
“Jika dibandingkan semalam, sentimen pasaran semakin baik dan disokong oleh faktor domestik dan luaran.
“Di peringkat domestik, data inflasi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) petang ini kekal stabil pada 1.7 peratus tahun ke tahun, menunjukkan kenaikan gaji penjawat awam baru-baru ini tidak memberi tekanan harga yang berleluasa," katanya kepada Bernama.
Menurut Jabatan Perangkaan, kadar inflasi Malaysia kekal pada 1.7 peratus bagi Januari 2025 dengan mata indeks mencatat 133.6 mata berbanding 131.4 mata pada bulan sama tahun lepas.
Di peringkat serantau, pasaran Nikkei 225 Jepun menokok 0.26 peratus kepada 38,776.94, Hang Seng Hong Kong naik 3.99 peratus kepada 23,477.92, Indeks Straits Times Singapura meningkat 0.09 peratus kepada 3,930.94, Indeks Komposit Shanghai China menambah 0.85 peratus kepada 3,379.11 dan Kospi Korea Selatan meraih 0.02 peratus kepada 2,654.58.
Saham wajaran tinggi Maybank naik enam sen kepada RM10.50, CIMB dan Public Bank masing-masing menokok satu sen kepada RM8.36 dan RM4.50, Tenaga Nasional mengukuh 18 sen kepada RM13.98 dan IHH Healthcare meraih lima sen kepada RM7.26.
Bagi saham aktif, Ingenieur Gudang turun setengah sen kepada lima sen, Inari Amertron susut 30 sen kepada RM2.35 manakala MYEG berkurangan dua sen kepada RM1.04, TWL Holdings dan Velesto Energy naik setengah sen kepada 2.5 sen dan 18.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 77.68 mata kepada 11,991.67, Indeks FBMT 100 menokok 78.22 mata kepada 11,725.23, Indeks FBM Emas Shariah melonjak 125.79 mata kepada 11,716.91, Indeks FBM 70 meningkat 35.86 mata kepada 17,404.86 dan Indeks FBM ACE naik 0.45 mata kepada 4,920.98.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 47.23 mata kepada 19,318.04, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meraih 3.85 mata kepada 165.05, Indeks Perladangan meningkat 66.02 mata kepada 7,458.32 dan Indeks Tenaga menambah 5.81 mata kepada 785.76.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama menokok kepada 1.56 bilion unit bernilai RM2.37 bilion daripada 1.46 bilion unit bernilai RM2.10 bilion pada Khamis.
Selain itu, jumlah waran meningkat kepada 1.01 bilion unit bernilai RM99.28 juta berbanding 1.00 bilion unit bernilai RM107.98 juta sebelum ini.
Di Pasaran ACE, jumlah dagangan susut kepada 412.15 juta unit bernilai RM153.71 juta berbanding 688.42 juta unit bernilai RM221.16 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 148.67 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (393.87 juta), pembinaan (112.04 juta), teknologi (215.64 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (71.37 juta), hartanah (196.41 juta), perladangan (16.80 juta), REIT (22.21 juta), dana tertutup (18,800), tenaga (165.51 juta), penjagaan kesihatan (115.36 juta), telekomunikasi dan media (33.81 juta), pengangkutan dan logistik (24.54 juta), utiliti (50.08 juta) dan amanah perniagaan (12,400).
-- BERNAMA