SHAH ALAM, 18 Feb ( Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan memastikan pindaan Akta Kawalan Padi dan Beras (Akta 522) dapat dipersiapkan dan seterusnya dikuatkuasakan pada tahun ini.
Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pindaan bagi meningkatkan penguatkuasaan untuk membendung kegiatan menukar beras tempatan menjadi beras import itu turut mengambil kira penyelidikan yang dijalankan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).
“Kita akan pinda akta ini dengan mengambil rekomendasi oleh MyCC yang terlibat membuat penyelidikan berhubung isu padi dan beras.
“Dari situ kita akan buat perubahan yang perlu bagi mengatasi isu itu termasuk memperkuat pemantauan sekali gus mengambil tindakan terhadap pihak yang melanggar undang-undang berkenaan,” katanya mengulas mengenai sasaran masa ditetapkan kementerian bagi menyiapkan pindaan akta itu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan persekolahan Agrobank 2025 dan pelepasan anak ikan Tilapia Aquaculture Aspire di Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun di sini hari ini.
Pada Khamis lepas, Mohamad ketika menggulung perbahasan selepas sesi penerangan khas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Parlimen dilaporkan berkata kerajaan bersetuju meminda Akta 522 yang masih longgar dari segi penguatkuasaan ke atas pengilang, pemborong dan peruncit dalam usaha membendung kegiatan menukar beras tempatan menjadi beras import.
Mohamad berkata Akta 522 tidak menyenaraikan kesalahan mencampurkan beras tempatan dengan beras import, sebaliknya hanya menetapkan tujuh jenis kesalahan antaranya menyorok beras dengan tujuan mewujudkan kekurangan bekalan.
Berhubung pelepasan anak ikan tilapia, Mohamad berkata Program Aquaculture Aspire anjuran Agrobank itu menyasarkan penglibatan 20 sekolah terpilih untuk pelaksanaan pendidikan akuakultur berasaskan teknologi bioflok.
Beliau berkata sekolah terpilih akan dibekalkan dengan satu kolam bersaiz 18 kaki persegi beserta 1,500 anak ikan tilapia yang berpotensi menjadi inisiatif keusahawanan yang menjana pendapatan kepada sekolah.
“Setiap kolam berharga RM15,000 dan boleh memuatkan 1,500 anak ikan yang jika dijaga dengan baik, hasilnya boleh dituai dalam tempoh tiga bulan dengan purata dua ekor bersamaan seberat satu kilogram,” katanya.
Terdahulu, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja menyampaikan sumbangan persekolahan yang menyaksikan 200 pelajar menerima wang tunai RM150 beserta keperluan seperti beg sekolah, alat tulis dan botol air. Turut hadir pada majlis itu Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.
-- BERNAMA