KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seluruh rantau Asia-Pasifik (APAC) diunjurkan perlahan kepada 3.7 peratus pada 2025 daripada jangkaan 3.9 peratus pada 2024 disebabkan ketegangan perdagangan, perubahan dasar, dan pemulihan tidak seimbang.
Moody’s Analytics juga berpandangan pertumbuhan seluruh rantau ini juga akan perlahan berikutan tarif baharu dan permintaan global semakin berkurangan menjejaskan eksport.
“Beberapa minggu selepas Donald Trump kembali sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) buat kali kedua, Washington melancarkan serangan tarif yang menyasarkan kawan dan lawan, termasuk tarif 10 peratus ke atas barangan China dan duti 25 peratus ke atas semua import keluli dan aluminium AS.
“Tarif yang dijangka dikenakan ke atas kereta menjadi ancaman khusus ke atas Jepun dan Korea Selatan,” menurutnya dalam nota penyelidikan pada Rabu.
Menurut Moody’s Analytics, China akan menanggung kesan paling buruk daripada ketegangan perdagangan yang semakin meningkat dengan AS, manakala kalangan ekonomi berpendapatan tinggi seperti Jepun dan Australia dijangka mengalami peningkatan sederhana pada 2025 memandangkan keredaan inflasi.
APAC akan mengalami kesan tarif yang lebih berbanding rantau lain, memandangkan rantau ini amat bergantung kepada perdagangan.
“Ekonomi di Asia Timur Laut dan Asia Tenggara, khususnya, telah lama bergantung kepada eksport sebagai pemacu utama pertumbuhan -- eksport, sehala atau cara yang lain, berakhir di AS.
“Berbanding dengan trend sebelum pandemik, eksport barang dan perkhidmatan sama ada menyamai atau melebihi purata global,” tambahnya.
Moody’s Analytics memaklumkan, inflasi telah reda di kebanyakan negara di rantau ini, membolehkan kalangan bank pusat melonggarkan dasar monetari.
Bagaimamapun, penyusutan terkini nilai mata wang dan inflasi yang berlanjutan mungkin menghadkan ruang untuk pengurangan kadar faedah seterusnya.
“Kebanyakan bank-bank pusat di APAC menjejaki langkah Rizab Persekutaun AS (Fed) bagi pengurangan kadar faedah untuk mengelakkan penyusutan mata wang yang ketara.
“Malaysia dan Taiwan masih belum bertindak sedemikian, manakala Bank of Japan menongkah sepenuhnya aliran ini dengan menaikkan kadar faedah meskipun ekonominya sedang bergelut,” jelasnya.
Moody’s Analytics berpandangan kadar pertukaran mata wang akan terus menjadi tumpuan memandangkan Fed memperlahankan kadar pelonggaran dasarnya tahun ini.
“Inflasi berterusan dan dasar ekonomi yang diumumkan oleh Trump menunjukkan pengurangan kadar yang lebih kecil berbanding yang dijangkakan sebelum ini.
“Ini telah mengukuhkan dolar AS dan melemahkan mata wang di seluruh APAC,” menurutnya.
Sementara itu, Moody’s Analytics juga berpendapat ketidaktentuan juga memberi kesan kepada aliran pelaburan langsung asing (FDI).
“FDI global berkurangan selama bertahun-tahun, dipengaruhi oleh perubahan peraturan, gangguan era pandemik, inflasi, dan syarat kredit yang lebih ketat.
“Walaupun dasar industri dan usaha mempelbagaikan rantaian bekalan telah mencipta peluang terasing bagi beberapa negara dan industri, langkah itu juga menimbulkan konflik yang mengekang pelaburan rentas sempadan,” tambahnya.
Menurutnya keadaan itu membimbangkan Vietnam dan Malaysia kerana FDI menjana pertumbuhan.
-- BERNAMA