AM

Isu TVET, Projek Tembatan Banjir Dan Perihal Kewangan KWSP Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini

20/02/2025 08:56 AM

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Langkah kerajaan untuk menarik minat golongan muda terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), projek tebatan banjir dan isu berkaitan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), menjadi antara tumpuan perbincangan persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) minta Perdana Menteri menyatakan inisiatif kerajaan dalam memperkasakan golongan muda yang berminat dalam pembelajaran berasaskan kemahiran melalui program TVET.

Beliau juga ingin tahu bagaimana program TVET dapat menarik lebih ramai pelajar dan meluaskan akses kepada latihan kemahiran bagi memenuhi keperluan industri serta melahirkan tenaga kerja mahir yang kompetitif.

Dalam sesi sama, Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) mengajukan persoalan kepada Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air, mengenai perincian tindakan kementerian berhubung gesaan Perdana Menteri supaya projek tebatan banjir disegerakan dan kos terkini yang perlu ditanggung kerajaan memandangkan proses kelulusan projek pernah dibatalkan pada akhir tahun 2022.

Chong Zhemin (PH-Kampar) pula meminta Menteri Kewangan menyatakan jumlah keuntungan atau kerugian yang dialami KWSP dalam transaksi pembelian dan penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), serta soal keuntungan atau kerugian yang dilaporkan dalam penyata kewangan KWSP.

Sementara itu, pada sesi Soal Jawab Lisan pula, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) minta Menteri Dalam Negeri menyatakan langkah pemantauan serta tindakan penguatkuasaan terhadap sindiket pemalsuan kad pengenalan yang dilapor menawarkan MyKad khususnya kepada warga asing pada harga RM4,400 menerusi promosi di platform media sosial.

Turut dijangka menjadi perhatian, soalan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) kepada Menteri Pengangkutan berhubung jumlah kedai tayar dan bengkel yang dikenakan tindakan kerana menyewakan tayar kepada lori sebagai helah semasa pemeriksaan di PUSPAKOM.

Usai sesi itu, persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan sesi penggulungan perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja oleh menteri daripada setiap kementerian berkaitan.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 18 hari hingga 6 Mac.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2394386