JENAYAH & MAHKAMAH

Bawa Muatan Berlebihan, Pemandu Sanggup Tunggu Berjam-jam Elak Operasi JPJ

21/02/2025 09:52 PM

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Pemandu kenderaan berat yang membawa muatan berlebihan dikesan sanggup menunggu berjam-jam di bahu jalan dan stesen minyak berhampiran Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, selepas Plaza Tol Gombak bagi mengelak operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini hari ini.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur Hamidi Adam berkata taktik itu sering digunakan pemandu kenderaan berat bagi menghindari tindakan penguatkuasaan susulan muatan berlebihan yang dibawa mereka.

Bagaimanapun beliau berkata anggota JPJ tetap akan memastikan penguatkuasaan dapat dijalankan ke atas pemandu terlibat.

“Kita tidak boleh tahan kenderaan berkenaan jika statik, jadi pasukan kami akan mengarahkan pemandu terlibat beredar kerana menghalang lalu lintas. Sebaik sahaja bergerak, barulah kita tahan mereka dan arahkan ke stesen timbang untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam sidang media Operasi Khas Gempur Teknikal Siri 1/2025 JPJ di Stesen Penguat Kuasa Gombak, di sini, hari ini.

Operasi ini dilaksanakan JPJ Kuala Lumpur dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bertujuan mengesan pelbagai kesalahan teknikal, termasuk penggunaan tayar celup yang sudah botak serta pemandu warga asing tanpa dokumen sah.

Hamidi berkata operasi khas ini berlangsung selama 14 hari, bermula 15 hingga 28 Feb, bagi meningkatkan keselamatan jalan raya dan menangani kesalahan teknikal yang berisiko menyebabkan kemalangan.

Beliau berkata dalam operasi selama sembilan jam hari ini yang bermula 7 pagi tadi telah memeriksa 315 kenderaan barangan dan perkhidmatan awam dengan tindakan diambil terhadap 41 kenderaan barangan manakala lima lori disita.

Menurut Hamidi sebanyak 119 kesalahan dikesan dengan lebih muatan direkodkan paling banyak iaitu 56 kes, tiada Lesen Memandu Kompeten (12), tiada lesen vokasional (10), kesalahan teknikal (6) dan selebihnya lain-lain kes.

Selain itu, ujian saringan air kencing oleh AADK mendapati tiga pemandu bas pelancong positif dadah jenis syabu, manakala MOTAC mengesan satu kesalahan membabitkan sektor pelancongan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2395144