AM

Pemukiman AEM Bakal Lonjak "Permata Tersembunyi" Johor

21/02/2025 09:20 PM

Oleh Mohd Khairi Idham Amran

PENGERANG, 20 Feb (Bernama) -- Penganjuran Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan bermula 22 hingga 28 Feb ini mampu melonjakkan nama Desaru yang sejak sekian lama menjadi "permata tersembunyi” di negeri ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pengerang Mohammad Nazrul Abd Rahim berkata penganjuran berkenaan sekali gus membantu mempromosikan Desaru sebagai lokasi pelancongan setanding lokasi terkenal tanah air seperti Langkawi, Kedah dan Pulau Tioman, Pahang.

“Desaru terletak di bawah Majlis Perbandaran Pengerang. Bila dengar Pengerang, terus ingat sektor industri minyak dan gas berbanding pelancongan. Sedangkan di sini banyak tempat menarik yang kurang diketahui pengunjung.

“Oleh itu, kita perlukan acara seperti mesyuarat peringkat ASEAN ini sebab kita mahu jenamakan Desaru sebagai tempat pelancongan terbaik di Johor dan amnya di Malaysia,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

Beliau berkata penganjuran pemukiman AEM di Desaru juga secara tidak langsung mempromosikan Tahun Melawat Johor 2026 yang menyasarkan kedatangan 12 juta pelancong domestik dan antarabangsa.

Mohammad Nazrul berkata penganjuran itu juga dijangka membawa limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat dan kawasan sekitarnya termasuk 20 hingga 30 perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Bersempena acara itu juga reruai pameran dijadual dibuka yang akan memberi peluang kepada PKS tempatan menyertainya bagi mempromosi produk diusahakan.

"Kita diminta untuk bersama-sama dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri adakan pameran jualan. Pameran dan jualan daripada produk-produk PKS kita yang ada di sekitar Kota Tinggi," katanya.

Selain itu, beliau berkata penganjuran berkenaan turut memberi peluang mempromosikan makanan unik di sekitar Pengerang terutama hidangan udang kara yang terkenal dalam kalangan pelancong dan peminat makanan laut selain belangkas dan siput gonggong yang menjadi pilihan mereka yang singgah di Kota Tinggi.

“Apabila delegasi dari negara ASEAN ini hadir ke sini, mereka akan mencuba dan merasai keenakan makanan kita.

"Mereka juga boleh melawat tempat menarik di Desaru dan Kota Tinggi. Jadi, kesan limpahan ini bukannya mengalir di kawasan Desaru sahaja, tetapi juga di kawasan sekeliling,” katanya.

Pemukiman AEM dan mesyuarat berkaitan akan bermula dengan mesyuarat pegawai kanan Kementerian Ekonomi ASEAN pada 22 Feb dan mencapai kemuncak pada Pemukiman AEM Ke-31 pada 27 dan 28 Feb.

Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN dijangka membincangkan 18 Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) pada pemukiman berkenaan yang bertujuan memacu integrasi ekonomi serantau, keterangkuman, kemampanan dan perdagangan digital.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2394406