PETRA AKAN BINCANG KEPERLUAN TENAGA NUKLEAR, PELAN PEMBANGUNAN SEMENANJUNG MELALUI JPPPET
KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) akan membincangkan keperluan tenaga nuklear dan keseluruhan pelan pembangunan Semenanjung melalui Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET).
Timbalan Menteri berkenaan Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata perkara itu akan dilaksanakan jika kerajaan memutuskan untuk menggunakan sumber tenaga nuklear sebagai sumber alternatif yang selamat dan efektif bagi penjanaan tenaga elektrik.
“Perbincangan ini bagi memastikan perancangan dan penghantaran elektrik yang tersusun dan lebih inklusif dengan mengambil kira keperluan dan keupayaan sebenar sistem perbekalan elektrik negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang ingin tahu potensi untuk tenaga nuklear dijadikan sebagai sumber tenaga negara dan sama ada kementerian akan mengkaji semula program nuklear sedia ada untuk menampung keperluan baharu ini.
-- BERNAMA
KPT LAKSANA DUA PROGRAM BANTUAN KEWANGAN UNTUK OKU
KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah melaksanakan dua program bantuan untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam memastikan mereka dapat melanjutkan pelajaran pada peringkat pengajian tinggi.
Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata ia melibatkan program Bantuan Kewangan OKU, iaitu pembiayaan yuran pengajian dan Elaun Wang Saku sebanyak RM6,200 setahun serta Program Pendidikan Khas bagi OKU pendengaran untuk mereka mengikuti kursus secara sepenuh masa pada peringkat Sijil Kemahiran Khas di politeknik dan kolej komuniti.
Beliau menjawab soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang) mengenai inisiatif yang sudah dirangka atau dalam perancangan demi memastikan pelajar OKU di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) atau mereka yang mempunyai ibu bapa OKU diberi keutamaan dalam pengagihan biasiswa penuh pengajian tinggi, pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
-- BERNAMA
MOT KAJI KENAKAN TINDAKAN TEGAS SINDIKET TAWAR SEWAAN TAYAR UNTUK MANIPULASI DI PUSPAKOM
KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Kerangka perundangan sedia ada akan dikaji untuk mengenal pasti sekiranya terdapat ruang untuk mengenakan tindakan tegas terhadap sindiket yang menawarkan sewaan tayar atau alat ganti untuk tujuan manipulasi kelulusan pemeriksaan kenderaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata isu itu merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab dan mendatangkan kesan buruk terhadap keselamatan jalan raya dan integriti sistem pemeriksaan kenderaan yang dilaksanakan.
“Aktiviti penukaran tayar secara asasnya sah dari segi undang-undang dan perlu dilakukan bagi memenuhi syarat pemeriksaan, namun masalah timbul apabila tayar yang telah memenuhi piawaian pemeriksaan ditukar semula kepada tayar lama atau tidak selamat selepas pemeriksaan selesai,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) yang ingin tahu jumlah kedai tayar dan bengkel yang telah diambil tindakan kerana menyewakan tayar kepada lori sebagai helah semasa pemeriksaan di Puspakom.
-- BERNAMA