AM

Situasi Banjir Di Negeri Sembilan, Pahang Tidak Berubah Pagi Ini

21/02/2025 10:26 AM

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Situasi banjir di Negeri Sembilan dan Pahang tidak berubah pagi ini dengan jumlah mangsa yang masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri kekal 133 orang, setakat 8 pagi.

Di NEGERI SEMBILAN, jumlah mangsa banjir di Jelebu kekal 84 orang daripada 27 keluarga yang ditempatkan di PPS Dewan D'Sury.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Jelebu Lt (PA) Mohd Najib Abdul Karim berkata kesemua mangsa merupakan penduduk Ladang Jelebu, Taman Pekan Baru, Taman Bandar Tinggi dan Kampung Sepri terdiri daripada 54 dewasa, 28 kanak-kanak serta dua bayi lelaki.

Beliau berkata banjir telah surut dan dijangka kesemua mangsa boleh pulang ke rumah masing-masing hari ini.

Di PAHANG, sebanyak 49 orang daripada 12 keluarga masih berada di PPS Sekolah Kebangsaan Lanchang, Temerloh.

Semakan menerusi portal public info banjir, Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati hanya Sungai Pahang di Kuala Krau (F1) Temerloh berada pada paras waspada, namun menunjukkan trend menurun.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2394848