GAYA HIDUP

Peminat Setia Simpan Pelbagai Koleksi Sudirman Sejak 1980-an

21/02/2025 11:35 AM

Oleh Norhidayyu Zainal

KUALA LUMPUR,  21 Feb (Bernama) -- Bertubuh kecil dengan ketinggian 152 sentimeter, sekali pandang, gaya Mohd Azhar Md Isa, 52, yang segak mengenakan sepasang baju Melayu lengkap bersamping dan bersongkok sedondon dengan rona coklat keemasan dan berkaca mata hitam saling tidak tumpah penghibur nombor satu Asia, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad. 

Mengakui mahukan imej Allahyarham kekal segar dalam ingatan, anak sulung daripada lima beradik ini sanggup berbelanja hampir ribuan ringgit bagi menempah busananya itu secara eksklusif di kedai jahit kegemaran Sudirman, Kedai Jahit Den Wahab, sejak dua tahun lepas.

"... semua orang tahu Sudirman adalah ‘trendsetter’ kerana bertanggungjawab mempopularkan baju Melayu sepasang, daripada songkok hingga ke kain samping warna sedondon yang menjadi identitinya dalam industri seni... dan sebagai peminat setianya, saya akan meneruskan legasi gaya Allahyarham.

pic-2

"Jadi, sama seperti Sudirman, saya suka akan gaya ini kerana ia lain daripada lain sekali gus menyemai semangat patriotik dan perpaduan," katanya kepada Bernama ketika ditemui di kediamannya, di sini baru-baru ini.

Memiliki empat pasang busana sedondon berwarna putih, coklat keemasan, ungu dan merah, katanya, ia hanya akan dipakai ketika menghadiri majlis istimewa antaranya rumah terbuka Aidilfitri dan Konsert A Tribute to Sudirman di Dewan Filharmonik Petronas.

Sebagai peminat tegar yang membesar dengan lagu-lagu penyanyi yang diberi julukan 'The Singing Lawyer' itu, Mohd Azhar menyimpan koleksi barangan berkaitan Sudirman antaranya kaset, cakera padat (CD), poster, tin minuman Sudi, buku, majalah hiburan, keratan akhbar, novel, komik, kad ucapan hari raya, sampul duit raya, kemeja-T, risalah, pelekat serta cermin mata (Sudir Shade) di rumahnya di Danau Kota, Setapak, di sini, sejak 1980-an.

"Saya mula minat Sudirman ketika berusia lima tahun selepas dia memenangi Bintang RTM 1976... dia seorang yang sangat berbakat tetapi dengan gaya yang cukup bersahaja.

pic-3

"Saya membesar pada zaman kegemilangannya dan ditambah dengan sikap ahli keluarga yang sering memutarkan lagunya cukup membuatkan saya terpesona dan meminati Sudirman," katanya yang juga merupakan ahli kelab peminat Sudirman yang ditubuhkan pada 2010.

Bagaimanapun, Mohd Azhar berkata koleksinya yang paling berharga ialah balasan surat pertama bertulisan tangan daripada Sudirman yang diterimanya ketika berusia 15 tahun pada 1986.

"Itu adalah yang pertama kali saya dapat balasan surat, saya rasa amat gembira. Saya tak sangka dia akan membalas surat sedangkan peminatnya terlalu ramai. Dia sangat menghargai peminatnya. 

pic-4

"Dalam balasan surat itu, dia menjawab segala persoalan yang ditanya dan dikepilkan dengan beberapa keping gambar peribadi serta tandatangannya. Sejak itu, kami saling berutus surat dan terhenti selepas arwah jatuh sakit sekitar 1991," katanya sambil memberitahu sebahagian koleksi simpanannya itu pernah dipamerkan pada Pameran Warisan Sudir: Tribute kepada Penghibur Nombor 1 Asia bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan 2022.

Bagi Mohd Azhar yang juga anak kelahiran Bagan Datuk, Perak ini, Sudirman adalah pengkarya dan penghibur yang bijak dan sangat bersungguh-sungguh dalam memberikan yang terbaik.

"Saya masih ingat lagi, arwah selalu berpesan kepada semua peminatnya yang ilmu sangat penting dalam kehidupan kerana usaha dan keinginan akan menyempurnakan diri seseorang sehingga ke akhir hayat," katanya yang berharap sebuah galeri Sudirman dapat diwujudkan bagi menghargai penghibur tersebut. 

pic-5

Sudirman menghembuskan nafas terakhir pada 22 Feb 1992 di usia 37 tahun selepas tujuh bulan bertarung dengan penyakit radang paru-paru. 

Sepanjang 16 tahun dalam industri seni suara tanah air, Sudirman merakamkan 15 album studio, 52 album kompilasi dan puluhan lagu hitnya serta memenangi pelbagai anugerah tempatan dan antarabangsa.

Antara lagu-lagu hit Sudirman yang masih bermain di corong-corong radio dan menjadi pilihan pendengar ialah Merisik Khabar, Nilai Cintamu, Milik Siapakah Gadis Ini, Terasing, Anak Gembala, Pelangi Petang, Salam Terakhir, Kau Akan Kembali dan banyak lagi.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2394871