GAYA HIDUP

Rumah Singgora Gamit Pelawat Ke Era Melayu Tradisional

23/02/2025 12:27 PM

Oleh Noornasrin Salsabila Othman

KOTA BHARU, 23 Feb (Bernama) -- Menjejakkan kaki di rumah ini ibarat kembali ke zaman lampau, dibawa oleh reka bentuk Melayu tradisional yang diserlahkan lagi dengan penggunaan kayu-kayuan lama berserta atap singgora, menyembunyikan realiti kediaman ini baru berusia kira-kira sembilan tahun.

 Keliling rumah pula sarat dengan pepohon nan hijau menyejukkan pandangan mata, pantas untuk mereka yang lelah dengan kesibukan kehidupan seharian beristirahat.   

Dinamakan Rumah Singgora oleh pemiliknya, Mohamad Salleh, 49, rumah yang terletak di Kampung Air Deras, Pasir Hor di sini, dibina dengan menggunakan kayu-kayu lama yang diperoleh dari sekitar Kelantan.

Berkongsi sejarah rumah itu, Mohamad berkata pembinaan kediaman yang turut dibuka kepada umum tersebut, mengambil masa hampir tiga tahun termasuk pengumpulan kayu-kayuan yang dimulakan beliau pada 2015.

pic-2

“Saya dapatkan kayu-kayuan seperti cengal dan seraya hitam ini dengan mencari rumah dan bangunan lama yang dirobohkan di sekitar negeri. Idea untuk bina rumah ini tercetus selepas saya berkunjung ke Thailand dan Indonesia, dengan kebanyakan rumah dan bangunan di sana mengetengahkan reka bentuk tradisional yang mempunyai keunikan tersendiri,” katanya kepada Bernama.

Menurut Mohamad yang merupakan bekas jurutera, bagi memastikan kediamannya memiliki keaslian seni bina Kelantan, beliau menekankan ciri-ciri seperti ukiran pada tiang serta penggunaan atap singgora, iaitu sejenis genting yang diperbuat daripada tanah liat.

“Rumah ini siap sepenuhnya pada 2017, dan kami buka kepada umum sebagai tempat persinggahan untuk mereka melihat keunikan seni bina Melayu Kelantan.

“Kami juga menawarkan pakej makanan tradisional Kelantan kepada pelawat,” katanya, menambah lebih 10 jenis hidangan disediakan oleh isterinya Nor Hana Saali, 47, seperti singgang daging, ikan rebus, sayur masak lemak serta gulai siput sawah.

“Untuk tampil klasik, saya hidangkan lauk-pauk mengunakan pinggan mangkuk ketika zaman nenek moyang kita serta periuk tembaga,” tambahnya lagi.

pic-3

Menurutnya, sejak beroperasi, rumah itu yang mampu menempatkan 90 pelanggan pada satu-satu masa, bukan sahaja dikunjungi oleh pelancong tempatan tetapi juga pelawat asing, antaranya dari United Kingdom, Qatar, Bosnia, Australia, China dan Brazil.

"Alhamdulillah, maklum balas daripada pelanggan, termasuk pelanggan luar negara, sangat positif dan kebanyakan mereka dapat menerima lauk-pauk selera orang Kelantan, terutamanya singgang daging yang sering mendapat pujian kerana kena dengan cita rasa mereka,”  katanya, menambah mereka yang ingin berkunjung perlu membuat tempahan sekurang-kurangnya sehari lebih awal.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2395452