GAYA HIDUP

Tobii Berkolaborasi Dengan DOLLA Dalam ‘Bad Girls Like You’ Versi Bahasa Inggeris

21/02/2025 04:21 PM

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Tobii, penyanyi Thailand di bawah naungan Def Jam Thailand, membuat kejutan untuk peminat apabila tampil berkolaborasi dengan DOLLA menghasilkan lagu tular di TikTok, Bad Girls Like You versi bahasa Inggeris.  

Dalam satu kenyataan hari ini, Universal Music Malaysia selaku label rakaman DOLLA, berkata versi bahasa Inggeris itu bertujuan memperluas capaian lagu di peringkat global, selain memperkenalkan bunyi unik Tobii kepada audiens yang lebih luas.

“Lagu Bad Girls Like You oleh bintang (gaya muzik) Afrobeats, Tobii, jelas telah mencetuskan fenomena di Internet. Sensasi Thai-Swiss bernama Tobias Phuwanai Mattmueller ini telah menarik perhatian global dengan lagu hit tersebut, seterusnya memulakan cabaran tarian tular yang menguasai media sosial dengan pantas.

pic-2

“Dengan 3.9 juta klip dihasilkan oleh pengguna dan lebih 54.3 juta tontonan, lagu itu menjadi fenomena global, sekali gus mengukuhkan nama Tobii dalam industri muzik. Kejayaan viral ini bukan sahaja meraih perhatian peminat muzik, tetapi juga memperkenalkan bunyi Afrobeats yang segar kepada audiens yang lebih luas,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Tabby, seorang daripada tiga anggota DOLLA,  menyifatkan projek tersebut sebagai satu penghormatan buat mereka.

“Kami sangat bersyukur atas jemputan ini dan teruja menjadi sebahagian daripada lagu versi bahasa Inggeris itu,” katanya, menambah lagu tersebut  “sangat sesuai” dengan mereka, selain melahirkan harapan kolaborasi  berkenaan akan membuka pintu kepada lebih banyak kerjasama antarabangsa melibatkan artis lain.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2394980