JENAYAH & MAHKAMAH

Warga Indonesia Dipenjara 18 Bulan Miliki Kad Pengenalan Mengandungi Maklumat Palsu

21/02/2025 05:47 PM

KUANTAN, 21 Feb (Bernama) -- Seorang lelaki warga Indonesia dipenjara 18 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan memiliki kad pengenalan mengandungi maklumat palsu dalam operasi dua minggu lepas. 

Majistret Ellyna Othman menjatuhkan hukuman itu terhadap Utiman, 46, dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap.

Tertuduh didakwa memiliki kad pengenalan yang menggunakan sijil lahir milik orang lain semasa semakan dibuat ketika Ops Sapu oleh Jabatan Imigresen (JIM) Pahang di sebuah premis di Kampung Permatang Badak di sini pada 2.10 pagi, 7 Feb.

Bapa kepada dua anak itu didakwa mengikut Peraturan 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang membawa hukuman  penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pahang Fahkrol Anuar Sani manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada prosiding itu, Fahkrol memohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada masyarakat agar tidak sewenang-wenangnya memberikan maklumat palsu semasa membuat permohonan kad pengenalan.

Mengikut fakta kes lelaki itu mengaku membeli sijil lahir daripada seorang individu dengan bayaran RM1,500 dan membuat permohonan kad pengenalan menggunakan dokumen berkenaan, selain dia juga mempunyai rekod pasport antarabangsa Indonesia.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, seorang wanita warga tempatan didenda RM5,000 selepas mengaku bersalah atas kesalahan memberikan maklumat palsu ketika membuat permohonan kad pengenalan 12 tahun untuk individu lain menggunakan sijil kelahiran anaknya di JPN Pahang, kira-kira dua tahun lepas.

Majistret Fatinah Abu Bakar turut memerintahkan Rafidah Hamid, 37, dipenjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut fakta kes, wanita itu mengaku dan secara sedar telah memberikan sijil kelahiran anak kandungnya kepada individu lain dan menjadi penganjur dengan memberikan cap ibu jari semasa permohonan dilakukan di kaunter JPN Pahang kira-kira 3.31 petang pada 11 Okt 2022.

Dia juga didakwa di bawah Peraturan 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN Pahang Burhanuddin Hamzah manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Azlan Mohd Arish@Arshad daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2395043