KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) -- ASEAN mengesahkan semula komitmennya dalam memperkukuh hubungan dengan China serta berminat untuk meneroka peluang baharu dalam kerjasama strategik.
Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Datuk Seri Amran Mohamed Zin mengetuai delegasi Malaysia ke Rundingan Pegawai Kanan ASEAN-China (ACSOC) ke-31 di Ningbo, China dari 12 hingga 14 Feb.
Ini menandakan mesyuarat ACSOC pertama sejak Malaysia mengambil alih peranan sebagai negara penyelaras bagi Hubungan Dialog ASEAN-China pada Julai 2024, dengan Malaysia dan China bertindak sebagai pengerusi bersama.
Kementerian Luar Negeri Malaysia dalam satu kenyataan mengiktiraf hubungan erat ASEAN-China yang terus diperkukuh selama ini.
Malaysia turut menggesa untuk meningkatkan kerjasama antara ASEAN dan China dalam sektor baru muncul seperti teknologi baharu, inovasi dan transformasi digital, khususnya melalui AI, teknologi kewangan (fintech) dan e-dagang.
“Malaysia juga mengiktiraf usaha berterusan ASEAN dan China dalam mempertingkatkan kerjasama di bawah perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA).
“Malaysia berpuas hati dengan penyelesaian penting rundingan naik taraf ACFTA 3.0, yang merangkumi pertumbuhan dalam ekonomi digital, ekonomi hijau, dan kesalinghubungan rantaian bekalan,” menurut kenyataan itu.
Langkah itu dianggap sebagai pencapaian penting dalam pemulihan pasca-COVID-19 serta sebagai tindak balas terhadap cabaran global.
ACSOC berfungsi sebagai platform diplomatik utama bagi pegawai kanan ASEAN dan China untuk mengukuhkan hubungan dialog ASEAN-China.
Semasa ACSOC ke-31, perbincangan tertumpu kepada meningkatkan kerjasama dan aktiviti di bawah Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-China, dengan pertukaran mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi perhatian bersama.
Malaysia juga menyeru peningkatan kerjasama dalam kerangka Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) bersama China, bagi merangsang pertumbuhan ekonomi serantau.
“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia turut berkongsi keutamaan dan hasil utama yang disasarkan semasa kepengerusian,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Malaysia menzahirkan penghargaan kepada China atas sokongan aktifnya terhadap Palestin serta mengulangi pendiriannya menyokong penubuhan sebuah negara Palestin yang berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara berdasarkan sempadan sebelum 1967.
Semasa lawatan ke Ningbo untuk ACSOC ke-31, Amran turut ditemu bual oleh Ningbo Daily, yang disiarkan di Ningbo TV.
Beliau menekankan usaha Malaysia untuk memperluaskan perdagangan dengan Ningbo, sebuah pelabuhan utama dan bandar perindustrian di wilayah Zhejiang, China.
Beliau berkata, perdagangan dua hala antara ASEAN dan Ningbo mencecah US$30 bilion pada 2024.
"Itu adalah jumlah perdagangan yang signifikan. Kami sentiasa berusaha untuk menggalakkan perkembangan hubungan dagangan antara Malaysia dan Ningbo," katanya.
Amran turut membincangkan hubungan erat antara Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Ningbo, yang terjalin sejak 2004.
Beliau memuji pertumbuhan berterusan membabitkan kerjasama antara dua hab maritim utama ini.
“Kami telah melihat perdagangan yang sangat aktif antara kedua-dua pelabuhan. Pembangunan Bandar Ningbo dan pertumbuhan strategik Pelabuhan Ningbo sangat mengagumkan.
"Mereka berjaya menyepadukan teknologi terkini dengan automasi penuh, terutamanya di pelabuhan kargo,” kata Amran.
"Itulah sebabnya saya percaya Pelabuhan Ningbo kini menjadi pelabuhan kargo nombor satu di dunia.
"Banyak yang boleh Malaysia pelajari daripada Ningbo dan China dalam mengaplikasikan teknologi moden.
"Hubungan antara pelabuhan kita kekal kukuh dan saya yakin pihak berkuasa pelabuhan Malaysia termasuk Pelabuhan Klang, Pelabuhan Pulau Pinang dan Pelabuhan Kuantan telah terlibat secara aktif dengan rakan mereka di Pelabuhan Ningbo.
"Kami berharap kerajaan dan sektor swasta akan mengambil peluang ini," katanya.
-- BERNAMA