AM

Kementerian Perpaduan Negara Fokus Pendigitalan Perkhidmatan Muzium, Perpustakaan, Arkib

23/02/2025 04:07 PM

KANGAR, 23 Feb (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara akan memberikan fokus kepada pendigitalan perkhidmatan muzium, perpustakaan dan arkib dalam usaha menarik minat golongan muda mengunjungi tempat itu, dengan merasai pengalaman baharu melalui digitalisasi.

Ketua Setiausaha kementeriannya Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata pendigitalan penting bagi memberikan pengalaman lebih interaktif kepada golongan muda sebagai generasi baharu, sekali gus boleh menjadikan golongan itu meminati sejarah dan warisan negara. 

“Konsep membawa pengalaman kepada masyarakat perlu diperkasakan kerana kita kini berada dalam ekosistem yang berbeza dan perlu menyesuaikan pendekatan mengikut perubahan zaman,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat kepada warga kerja agensi kementerian itu di Perlis di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Perpaduan Perlis Hanita Ahmad.

Sementara itu, Hasnol Zam Zam berkata Indeks Perpaduan Nasional akan dilaksanakan tahun ini dan mengharapkan peningkatan tahap perpaduan dalam kalangan masyarakat dalam kajian komprehensif itu nanti.

“Kajian ini adalah yang ketiga selepas 2018 dan 2022. Kita berharap skor kali ini dapat mencapai 0.7 berbanding 0.629 sebelum ini, sekali gus menunjukkan peningkatan perpaduan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Terdahulu, semasa menyampaikan amanat itu, Hasnol Zam Zam berkata agensi di bawah kementerian berkenaan perlu lebih proaktif menyebarluaskan mesej perpaduan kepada masyarakat melalui pelbagai platform termasuk media sosial.

“YAB Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) turut menekankan kepentingan menonjolkan lebih banyak inisiatif perpaduan oleh Kementerian Perpaduan Negara serta agensi berkaitan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2395505