Daripada Mohd Haikal Isa
HANOI, 24 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melakukan lawatan kerja ke Vietnam bermula esok dan akan menyampaikan ucaptama pada ASEAN Future Forum ke-2 pada Rabu.
Duta Besar Malaysia ke Vietnam Datuk Tan Yang Thai berkata sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, ucaptama Perdana Menteri antaranya akan memberikan penekanan terhadap usaha memperkukuh kumpulan serantau itu dalam berhadapan dengan beberapa isu penting ketika ini.
“Ucaptama Perdana Menteri sewaktu forum tersebut secara umumnya akan memberi penekanan terhadap usaha memperkukuh ASEAN dalam menghadapi tekanan kuasa besar, mengukuhkan agenda ekonomi digital ASEAN, memacu inisiatif hijau serta mengutamakan pembangunan mampan bagi menjamin masa depan negara-negara anggota ASEAN,” katanya kepada media Malaysia, di sini hari ini.
Sebagai Pengerusi ASEAN, Tan berkata adalah penting untuk Malaysia mempromosi dan mempertahankan objektif serta keutamaan negara sebagai pengerusi kumpulan serantau itu dan memastikan pendirian dan pendapatnya diketengahkan dalam perbincangan masa depan ASEAN.
Selain ucaptama, beliau berkata Perdana Menteri akan menyertai panel perbincangan bersama Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh, Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon dan Presiden Timor Leste Jose Ramos-Horta, pada forum itu.
Ini merupakan kunjungan kali kedua Anwar ke Vietnam selepas lawatan rasmi ke negara anggota ASEAN itu pada Julai 2023, setelah memegang tampuk pemerintahan negara pada 2022.
Perdana Menteri dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai, Hanoi malam esok menggunakan pesawat khas.
Turut mengiringi lawatan kerja Anwar ke negara Asia Tenggara itu kali ini ialah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin, Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Sri Gading Aminolhuda Hassan.
Selain menyampaikan ucaptama pada ASEAN Future Forum, Perdana Menteri juga dijadual melakukan kunjungan hormat terhadap pemimpin-pemimpin utama Vietnam dan mengadakan pertemuan dua hala dengan beberapa pemimpin negara ASEAN yang turut menyertai forum itu.
Tan berkata Anwar dijangka mengadakan kunjungan hormat terhadap Presiden Vietnam Luong Cuong dan Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam To Lam, selain pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya daripada Vietnam.
Perdana Menteri juga dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Timor Leste.
Tan berkata pertemuan dengan To Lam, sebagai kesinambungan kepada pertemuan antara kedua-dua pemimpin negara semasa lawatan pemimpin Vietnam itu ke Malaysia pada November 2024.
Beliau berkata semasa lawatan bersejarah tersebut, hubungan Malaysia dan Vietnam telah dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif, yang merupakan tahap tertinggi dalam hierarki diplomatik Vietnam.
“Kedua-dua pemimpin akan membincangkan perkembangan dan kemajuan hubungan Malaysia-Vietnam dengan tumpuan kepada pengukuhan dan peningkatan kerjasama dalam sektor utama yang berkepentingan bersama, termasuk perdagangan dan pelaburan, pertahanan, industri halal, kesalinghubungan dan pelancongan.
“Selain itu, isu-isu serantau dan global yang berkepentingan turut akan dibincangkan,” katanya.
Sementara itu Tan berkata pada ASEAN Future Forum adalah penting untuk Malaysia mengekalkan ‘visibility’ sebagai Pengerusi ASEAN dan kehadiran Perdana Menteri akan memberi peluang kepada beliau untuk menetapkan naratif serta isu-isu berkeutamaan bagi Malaysia, sebelum Sidang Kemuncak ASEAN nanti.
“Tahun 2025 turut merupakan ulang tahun ke-30 Vietnam menyertai ASEAN. Penyertaan Perdana Menteri pada acara anjuran Vietnam bukan sahaja mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara, malah sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, menggariskan keakraban dan perpaduan antara negara-negara anggota ASEAN,” kata beliau.
-- BERNAMA