EKONOMI

Pemukiman Menteri Ekonomi ASEAN Akan Bincang Cabaran Geopolitik Semasa - Tengku Zafrul

24/02/2025 04:07 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Penganjuran Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN ke-31 pada 28 Feb ini di Desaru, Johor akan membincangkan pelbagai perkara penting bagi integrasi ekonomi ASEAN, khususnya di bawah tema keterangkuman dan kemampanan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata antara isu utama yang akan dibincangkan adalah cabaran geopolitik semasa yang membawa cabaran besar kepada pertumbuhan ekonomi di rantau ini serta cara mengurangkan kesan situasi geopolitik semasa.

"Kami juga akan membincangkan keberhasilan utama ekonomi (PED) yang ditetapkan oleh Malaysia sebagai pengerusi (ASEAN) dan akan memberi tumpuan kepada empat teras strategik.

"Pertama meningkatkan perdagangan dan pelaburan; kedua mewujudkan laluan inklusif dan mampan; ketiga ialah menggalakkan integrasi dan ketersambungan ekonomi dan; keempat membina digotal ASEAN yang kukuh," katanya pada sidang media mengenai 'Kad Laporan MITI 2024 dan Tinjauan 2025', di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata perbincangan juga akan memberi tumpuan kepada kemajuan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN, (DEFA), mengkaji status rundingan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang dinaik taraf, serta kemajuan penyertaan Timor Leste ke dalam ASEAN. 

"Negara anggota ASEAN sepatutnya melihat peningkatan yang lebih baik dalam perdagangan dengan DEFA dan ATIGA. Bagaimanapun, industri perkhidmatan perlu diteliti semula kerana banyak negara masih sangat melindungi industri perkhidmatan mereka," katanya.

Beliau berkata pemukiman itu juga akan membincangkan Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN bagi 2026-2030, yang berfungsi sebagai komponen ekonomi Wawasan Komuniti ASEAN 2045 yang komprehensif.

"Kami juga akan membincangkan cadangan Malaysia untuk meningkatkan kerjasama antara ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC)," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2395816