Oleh Karina Imran
KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini selepas sesi dagangan yang agak lembab sejajar dengan prestasi lemah di kebanyakan pasaran serantau.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 6.78 mata atau 0.43 peratus kepada 1,584.25 dari penutupan Jumaat iaitu sebanyak 1,591.03.
Pasaran dibuka 4.64 mata lebih rendah pada 1,586.39 dan bergerak antara 1,577.95 hingga 1,586.39 sepanjang hari.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 719 berbanding 304, manakala 459 kaunter tidak berubah, 871 tidak didagangkan, 10 lagi digantung.
Jumlah dagangan menurun kepada 2.69 bilion unit bernilai RM2.31 bilion daripada 2.99 bilion unit bernilai RM2.63 bilion yang dicatatkan semasa Jumaat sebelum ini.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata indeks serantau utama kebanyakannya ditutup lebih rendah berikutan jualan besar-besaran di Wall Street pada Jumaat lepas.
Di peringkat serantau, Hang Seng Hong Kong turun 0.58 peratus kepada 23,341.61, Indeks Komposit Shanghai China merosot 0.18 peratus kepada 3,373.03 dan Kospi Korea Selatan susut 0.35 peratus kepada 2,645.27.
“Di pasaran tempatan, indeks penanda aras terus mencari sokongan pada paras sekitar 1,580 dan kekal dalam fasa penyatuan memandangkan jumlah dagangan yang agak lemah.
“Pelabur tidak memasuki pasaran berikutan jangkaan adanya pemangkin pasaran baharu, dan kami meramalkan pergerakan terikat ini akan berterusan. Sekiranya penyertaan pasaran bertambah positif, FBM KLCI boleh mendapatkan momentum yang diperlukan untuk mengukuh,” katanya kepada Bernama.
Oleh itu, Thong menjangkan indeks penanda aras akan berubah-ubah antara 1,570 hingga 1,600 minggu ini.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata prestasi sektoral bersifat bercampur-campur, manakala saham pengguna menerajui keuntungan, minyak dan gas pula mengalami penyurutan.
Indeks pembinaan dan teknologi Bursa Malaysia berprestasi rendah, mencerminkan tekanan jualan yang meningkat.
“Sentimen pelabur merosot berikutan pengeluaran data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang lebih tinggi daripada jangkaan, meningkatkan kebimbangan mengenai potensi persekitaran stagflasi di AS. Senario stagflasi boleh menyekat permintaan pengguna, memberikan tekanan ke bawah pada trajektori pertumbuhan dipacu eksport Malaysia,” katanya lagi.
Di kalangan saham-saham wajaran tinggi, Maybank susut dua sen kepada RM10.48, Public Bank berkurangan tiga sen kepada RM4.47, Tenaga Nasional turun 34 sen kepada RM13.64 dan IHH Healthcare mencatatkan kerugian sebanyak satu sen kepada RM7.25, manakala CIMB untung dua sen kepada RM8.38.
Bagi saham-saham aktif, Ingenieur Gudang kekal tidak berubah pada lima sen, MY E.G melemah sebanyak tiga sen kepada RM1.01, Gamuda menyaksikan kejatuhan sebanyak 27 sen kepada RM4.49 dan Inari Amertron hilang 11 sen kepada RM2.24.
Di papan indeks, Indeks FBM EMAS jatuh 74.66 mata kepada 11,917.01, Indeks FBMT 100 dipangkas 67.82 mata kepada 11,657.41, Indeks FBM EMAS Shariah menurun sebanyak 109.90 mata kepada 11,607.01, Indeks FBM 70 merosot 171.43 mata kepada 17,233.42 dan Indeks FBM ACE lemah sebanyak 15.29 mata kepada 4,905.69.
Secara sektoral, Indeks Perkhidmatan Kewangan rugi 11.45 mata kepada 19,306.58, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 3.70 mata kepada 161.35 dan Indeks Tenaga merosot 16.89 mata kepada 768.87, manakala Indeks Perladangan melonjak 111.98 mata kepada 7,570.30.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama menurun kepada 1.37 bilion unit bernilai RM2.05 bilion berbanding 1.56 bilion unit bernilai RM2.37 bilion yang dicatatkan pada Jumaat sebelum ini.
Jumlah dagangan waran turut melemah kepada 893.75 juta unit bernilai RM114.94 juta daripada 1.01 bilion unit bernilai RM99.28 juta.
Jumlah pasaran ACE meningkat kepada 427.80 juta unit bernilai RM152.76 juta berbanding 412.15 juta unit bernilai RM153.71 juta.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 176.38 juta saham yang didagangkan di pasaran utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (340.37 juta), pembinaan (101.12 juta), teknologi (202.14 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (57.93 juta), hartanah (154.04 juta), perladangan (22.55 juta), REIT (19.13 juta), dana tertutup (25,300), tenaga (130.46 juta), penjagaan kesihatan (87.72 juta), telekomunikasi dan media (23.29 juta), pengangkutan dan logistik (20.19 juta), utiliti (38.65 juta) dan amanah perniagaan (6,400).
-- BERNAMA