KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) sedang menunggu butiran terperinci perbincangan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak mengenai skop kerjasama antara syarikat minyak nasional itu dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tengku Tan Sri Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata butiran terperinci itu akan menjadi asas kepada semua perancangan kerja antara Petronas dan Petros pada masa hadapan.
“Kami menunggu butiran terperinci yang akan dipersetujui secara dasarnya, oleh kerajaan Persekutuan dan juga kerajaan negeri Sarawak, sebelum kami boleh merealisasikan semua perancangan kerja; ini perlu dilakukan dengan teliti,” katanya.
Tengku Muhammad Taufik berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pengumuman prestasi kewangan Petronas bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024 (tahun kewangan 2024), di sini ,hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini berkata kerajaan pusat akan bertemu kerajaan negeri Sarawak untuk memperincikan skop kerjasama antara Petros dan Petronas.
Beliau berkata perbincangan itu bagi meneroka kerjasama yang akan dilaksanakan oleh kedua-dua syarikat membabitkan sebarang projek baharu dalam apa jua bidang.
Sementara itu, Tengku Muhammad Taufik menegaskan Petronas tetap terbuka untuk bekerjasama dengan Petros berhubung sumber hidrokarbon negeri itu.
“Kami perlu melakukan ini dengan berhati-hati. Kami mahu memastikan kepentingan kedua-dua (kerajaan Persekutuan dan negeri) terjaga,” katanya.
Beliau berkata semua kontrak yang membawa kepada Ordinan Pengagihan Gas 2016 akan terus kekal seperti biasa.
“Dan malahan, Petronas bukanlah tidak bertanggungjawab; kami tidak menafikan sebarang tawaran kepada sesiapa. Namun saya fikir lebih lama ia berterusan akan timbul lebih ketidakpastian dalam kalangan pelabur dan pembeli.
“Nasib baiklah ada kemajuan antara perdana menteri dan ketua menteri Sarawak. Kami akan berusaha menyelesaikan butiran terperincinya.Tiada permusuhan atau kurang komunikasi,” katanya.
Menjawab soalan mengenai aktiviti eksplorasi minyak di Sabah, Tengku Muhammad Taufik berkata Petronas melihat lebih banyak peluang di negeri itu pada masa depan.
Menerusi Malaysia Bid Round 2024, Petronas, melalui Pengurusan Petroleum Malaysia, berjaya menandatangani dua kontrak perkongsian pengeluaran, SB306A dan SB306B, yang terletak di luar pantai Sabah.
“Ia lebih mencabar dari segi teknikal berbanding perairan yang lebih dalam, dan kami mesti menangani bendasing.
“Jadi, ia akan menjadi persekitaran yang mencabar dari segi margin, tetapi terdapat sumber prospektif yang mempunyai potensi,” katanya.
-- BERNAMA