AM

Menteri Luar Mohamad Adakan Lawatan Rasmi Pertama Ke Iran

25/02/2025 11:07 AM

KUALA LUMPUR, Feb 25 (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan mengadakan lawatan rasmi pertama ke Republik Islam Iran bermula hari ini hingga Khamis, untuk menghadiri Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JCM) Ke-8.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini memaklumkan lawatan itu menekankan komitmen Malaysia untuk mengukuhkan hubungan dua hala dalam pelbagai sektor bagi kepentingan bersama kedua-dua negara.

Menurut kenyataan itu Menteri Luar akan mempengerusikan bersama JCM Ke-8 antara Malaysia dan Iran bersama dengan rakan sejawatnya Seyyed Abbas Araghchi.

"JCM akan membincangkan skop dan butiran mengenai bidang kerjasama strategik antara kedua-dua negara, meliputi pelbagai bidang.

"Ia merangkumi politik, pertahanan, keselamatan, perdagangan dan pelaburan, perbankan dan kewangan, pertanian, kesalinghubungan, tenaga, pelancongan dan budaya, sains dan teknologi, wanita dan keluarga, pendidikan serta industri halal," menurut kenyataan itu.

Semasa lawatan itu, Mohamad juga dijadualkan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Republik Islam Iran Dr Masoud Pezeshkian.

"Perbincangan mereka akan tertumpu kepada hubungan dua hala Malaysia-Iran, serta isu-isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama, khususnya situasi di Palestin dan urusan Timur Tengah yang lebih luas," menurut Wisma Putra.

Pada 2024, Iran merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di rantau Asia Barat, dengan jumlah dagangan bernilai RM2.6 bilion (USD0.57 bilion), peningkatan sebanyak 24.6 peratus berbanding 2023.

Malaysia merupakan rakan dagang terbesar Iran dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN dan yang ke-19 terbesar di dunia pada 2023.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2396139