KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mesti menerima kecerdasan buatan (AI) dan e-invois untuk kekal kompetitif dalam ekonomi Malaysia yang semakin berkembang, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Ketika berucap pada Siri Bicara Perniagaan PKS: “Empowering AI in Finance and E-Invoicing” di sini hari ini, beliau berkata pendigitalan bukan lagi pilihan kerana perniagaan yang gagal menyesuaikan diri akan berisiko ketinggalan.
“Masa depan perniagaan adalah digital. Jadi, persoalannya bukan jika perniagaan akan menerima pakai AI dan e-invois, tetapi bila,” katanya ketika menyampaikan ucaptama.
Beliau berkata teknologi sudah menjadi satu keperluan dan bukannya kemewahan, selain menekankan keperluan untuk semua jenis perniagaan untuk menerima pakai pendigitalan bagi mengekalkan daya saing, pematuhan dan kemampanan.
“PKS adalah tulang belakang ekonomi Malaysia, menyumbang lebih 38 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia dan menggaji jutaan rakyat Malaysia, namun masih bergantung kepada proses lapuk yang menjejaskan kecekapan, mengehadkan pertumbuhan dan mewujudkan risiko kewangan yang tidak perlu.
“Justeru, untuk berkembang maju dalam ekonomi moden, PKS mesti memanfaatkan penyelesaian dipacu AI dan alat kewangan digital untuk meningkatkan operasi perniagaan, mengurangkan kos dan memperbaiki kecekapan pematuhan,” katanya.
Mengenai langkah Malaysia menjelang pelaksanaan penuh e-invois, katanya, inisiatif itu melangkaui pematuhan kawal selia, berfungsi sebagai peluang untuk mendigitalkan operasi perniagaan dan langkah penting dalam memodenkan ekosistem kewangan negara.
“E-invois menawarkan beberapa faedah, termasuk pembayaran lebih cepat, kos pentadbiran yang rendah dan pematuhan cukai yang lebih baik melalui sistem yang lancar bagi membendung berlakunya penipuan.
“Peralihan kepada e-invois akan meletakkan anda di depan dan memberikan anda kelebihan daya saing dalam ekonomi digital Malaysia,” katanya.
Menurut Gobind, kerajaan Malaysia komited untuk menyokong perniagaan dalam perjalanan transformasi digital mereka, sambil menekankan mengenai penubuhan Pejabat AI Kebangsaan tahun lepas sebagai pihak berkuasa pusat untuk memacu agenda AI negara.
Dianjurkan oleh Persatuan PKS Malaysia (SME Malaysia) di Menara AFFIN @ TRX, acara itu berjaya menarik lebih 300 pemimpin industri, penggubal dasar dan pemilik PKS bagi membincangkan mengenai kesan AI dan e-invois kepada sektor PKS di Malaysia.
-- BERNAMA