AM

Permukiman ADMM: Malaysia Kemuka Kesefahaman Adaptasi AI, Perkukuh Keselamatan Maritim

25/02/2025 04:49 PM

GEORGE TOWN, 25 Feb (Bernama) -- Malaysia akan mengemukakan lima intipati utama pada Sesi Permukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) esok, dengan tumpuan kepada kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber dalam sektor pertahanan. 

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata terdapat keperluan mendesak untuk ASEAN menilai jurang persefahaman dan pengadaptasian AI bagi menjamin keselamatan serta pertahanan serantau pada masa depan.

“Kita tidak boleh nafikan hakikat bahawa pada masa depan, penentuan keselamatan, keamanan dan pertahanan negara akan banyak dipengaruhi oleh penggunaan teknologi termasuk AI bagi membantu usaha memastikan ketahanan pertahanan dan keselamatan negara.

“Pada masa sama, penyalahgunaan teknologi dan AI juga boleh membawa ancaman. Justeru, Malaysia berasakan perlunya perkara ini dibincangkan bersama,” katanya pada sidang media selepas meninjau lokasi Permukiman ADMM di sini hari ini.

Selain AI dan keselamatan siber, Mohamed Khaled memaklumkan tumpuan juga akan diberikan kepada pengukuhan keselamatan maritim di rantau ASEAN, terutamanya isu kritikal berkaitan Laut China Selatan (LCS).

Beliau menekankan kepentingan untuk mengekalkan pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa dalam menggunakan laluan maritim dan usaha mengurangkan ketegangan ketenteraan di kawasan LCS.

“Keselamatan maritim kekal menjadi kebimbangan utama ASEAN, kita pun tahu cabaran maritim termasuklah LCS, tuntutan-tuntutan bertindih kawasan itu dijadikan kawasan adu kuasa antara beberapa negara.

“Kita nak elak supaya tiada konflik di kawasan-kawasan seperti LCS, maka adalah penting untuk kita pastikan adanya kebebasan pelayaran, kebebasan laluan di laut itu, perlu untuk negara-negara ASEAN berbincang bagaimana kita secara bersama berdepan dan menangani soal keselamatan laut,” katanya.

Selain itu, Malaysia juga akan mencadangkan penubuhan pasukan ‘Bantuan Kemanusiaan dan Bencana’ dalam kalangan negara-negara ASEAN bagi menangani bencana alam yang semakin kerap berlaku di rantau ini akibat perubahan iklim. 

Dalam usaha memperkukuh industri pertahanan serantau, Mohamed Khaled berkata ASEAN perlu memperhebatkan kerjasama dalam pembangunan industri pertahanan tempatan bagi memajukan rantaian pembekalan pertahanan di rantau ini.

Selain itu, beliau memaklumkan Malaysia juga akan mengetengahkan ancaman daripada pelaku bukan negara dan biosekuriti yang semakin berkembang serta memerlukan tindakan serantau yang lebih tersusun. 

“Kumpulan-kumpulan pengganas serta kumpulan-kumpulan yang terlibat dalam jenayah-jenayah besar berpotensi menjadi ancaman bersenjata. Oleh itu, kerjasama ASEAN dalam menangani isu ini amat penting,”  katanya.

Kesemua cadangan itu akan dibawa Malaysia pada Permukiman ADMM esok dan seterusnya ke Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN pada November ini untuk diperhalusi dan dipersetujukan oleh semua negara anggota.

Mohamed Khaled menegaskan Pemukiman ADMM menjadi platform penting bagi ASEAN dalam menilai cabaran serantau, termasuk perkembangan geopolitik global serta memperkukuh kesepaduan blok itu bagi memastikan rantau ini kekal stabil dan bersatu dalam menghadapi cabaran keselamatan.

Lebih 150 delegasi dari 10 negara anggota ASEAN termasuk negara pemerhati Timor-Leste dan Sekretariat ASEAN dijangka menghadiri permukiman kali ini yang berlangsung sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 yang bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”.

-- BERNAMA


 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2396321