EKONOMI

Keuntungan Bersih Affin Bank Naik 26.7 Peratus Pada 2024

25/02/2025 08:12 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Keuntungan bersih Affin Bank Bhd meningkat 26.7 peratus kepada RM509.70 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024 daripada RM402.19 juta pada tahun sebelum itu didorong oleh pendapatan yang lebih tinggi serta hapus kira kerugian rosot nilai kredit yang lebih tinggi sebanyak RM229.6 juta.

Hasil bank itu juga meningkat kepada RM2.17 bilion berbanding RM1.99 bilion sebelumnya, menurut bank itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Affin Bank berkata pinjaman dan pembiayaan kasar mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 8.1 peratus kepada RM72 bilion berbanding RM66.7 bilion pada 31 Dis, 2023.

Deposit pelanggan pula meningkat 4.1 peratus kepada RM73.7 bilion, manakala nisbah akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) terus meningkat kepada 30.4 peratus pada 31 Dis, 2024 berbanding 26.7 peratus pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, bagi suku keempat berakhir 31 Dis, 2024, kumpulan itu mencatatkan untung bersih sebanyak RM135.10 juta, meningkat daripada RM39.53 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya, manakala hasilnya berjumlah RM557.67 juta berbanding RM486.19 juta sebelum ini.

Perancangan masa hadapan, kumpulan itu berkata ia memberi tumpuan untuk merealisasikan Pelan Transformasi Affin Axelerate 2028 (AX28) bagi meraih keuntungan melalui pertumbuhan pinjaman/pembiayaan dan akaun semasa.

Tiada bayaran dividen dicadangkan bagi suku dalam tinjauan, katanya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan media, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Affin Bank Group, Datuk Wan Razly Abdullah berkata usaha kumpulan itu untuk meningkatkan margin faedah bersih (NIM) mencapai matlamat dengan dengan CASA melepasi sasaran 30 peratus.

“Ini adalah satu pencapaian penting dalam mengukuhkan asas pembiayaan kami. Pada masa yang sama, kami sedang memajukan perjalanan transformasi digital kami dengan pengenalan teras digital baharu dan aplikasi mudah alih, yang akan dilancarkan pada suku pertama 2025, dan akan melonjakkan pertumbuhan kumpulan pada 2025,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2396464