Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah
KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Tidak ubah seperti Dr Baek Gang-heok, watak utama K-drama “Trauma Code: Heroes on Call” yang menguasai pelbagai kemahiran bagi membantunya menyelamatkan nyawa, Dr Leong Keen Wai juga tidak mengehadkan kepakarannya di hospital semata-mata.
Memiliki 10 jenis lesen kenderaan, dari motosikal ke jentera berat, pakar perubatan kecemasan di Hospital Putrajaya ini melihat kesemua lesen kenderaan tersebut sebagai satu keperluan buatnya untuk menghadapi sebarang situasi kritikal.
"Sebagai doktor kecemasan, saya sering terlibat dalam situasi yang memerlukan pergerakan pantas dan setiap saat itu adalah sangat berharga. Kalau saya boleh buat sesuatu untuk percepatkan bantuan, saya akan lakukannya tanpa ragu.
"Contohnya, jika berlaku bencana atau kecemasan, saya tidak mahu bergantung pada orang lain untuk menggerakkan ambulans, lori atau kenderaan khas. Dengan memiliki banyak lesen, saya sendiri boleh bertindak," katanya kepada kepada Bernama.
pic-2
Mengakui mungkin ada yang melihat pemilikan lesen memandu sebanyak itu bukan sesuatu yang luar biasa, Dr Leong, 37, berkata kemahiran yang beliau miliki boleh menjadi penentu dalam situasi hidup atau mati seseorang pesakit.
Lesen-lesen yang dimilki oleh beliau ialah Kelas B - Motosikal melebihi 500cc (motosikal besar); Kelas C - Motosikal beroda tiga; Kelas D - Motokar Berat Tanpa Muatan (BTM) tidak melebihi 3,500 kilogram (kg); Kelas E - Motokar BTM melebihi 7,500 kg; Kelas H - Traktor atau Jentera Bergerak Berat (Beroda) BTM melebihi 5,000 kg; Kelas I - Traktor atau Jentera Bergerak Berat (Berantai) BTM melebihi 5,000 kg; Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) Kelas D - Bas mini atau van (motokar ringan); PSV Kelas E - Bas Berat Tanpa Muatan melebihi 7,500 kg; Lesen Kenderaan Barangan (GDL) Kelas E - Lori Berat Tanpa Muatan melebihi 7,500 kg (berat kejur); dan GDL Kelas E - Lori Berat Tanpa Muatan melebihi 7,500 kg (bersendi) - Treler
pic-3
"Buat masa ini saya hanya menggunakan kelebihan yang dimiliki dalam simulasi ambulans atau lori sebagai persediaan menghadapi situasi sebenar,” kata anak jati Kuala Lumpur yang berkepakaran dalam bidang bencana itu.
Menurutnya, beliau mengambil masa 20 tahun dan membelanjakan lebih RM10,000 untuk memiliki lesen-lesen tersebut.
"Sebenarnya, minat dan sasaran saya sejak belajar mahu menjadi 'combat doctor' atau doktor tentera, tetapi tidak ada rezeki ke arah itu. Namun, saya tetap bersemangat dan bersedia sekiranya ditawarkan untuk dihantar ke lokasi bergolak atau bencana.
"Dalam situasi sebegitu (bergolak dan bencana), kemahiran mengendalikan kenderaan berat atau pengangkutan khas amat penting untuk membawa bekalan atau pesakit. Dengan kemahiran yang ada ini, saya dapat berkhidmat secara lebih efektif dalam situasi genting," katanya.
pic-4
Ditanya sama ada beliau bercadang menambah koleksi lesennya, anak sulung daripada tiga beradik itu berkata beliau menyimpan impian untuk memiliki lesen bagi menerbangkan helikopter dan juga lesen pengendalian kren menara.
"Pada 2022 saya menjalani latihan di Kota Kinabalu, Sabah untuk menjadi doktor ‘aeromedical’ ataupun ambulans udara. Sebulan di sana, kami menjalani latihan mengambil pesakit dari pedalaman dan saya sangat kagum dengan kesungguhan staf hospital serta juruterbang bertugas, membuatkan saya begitu teringin untuk mengambil lesen helikopter.
"Selain itu, saya juga berminat mahu mengambil lesen membawa kren menara yang sangat mencabar kerana (pemandu) berada di tempat tinggi dan banyak menggunakan teori fizik," ujarnya.
pic-5
Dr Leong turut menasihati mereka ingin mengikut jejak langkahnya memiliki pelbagai jenis lesen agar tidak mudah mengaku kalah dan kekal bersemangat merealisasikan impian sekalipun menempuh kegagalan.
"Selagi benda yang anda mahu buat itu tidak memudaratkan diri dan orang di sekeliling, burulah impian anda. Saya sendiri mengambil masa selama 20 tahun untuk dapatkan semua lesen ini," katanya.
-- BERNAMA